GEMPAR - Taman dadah di Kajang!!

BERURUS NIAGA...seorang lelaki yang berbaju Melayu dipercayai penagih membeli bekalan dadah daripada pengedar di kawasan perumahan Taman Kajang Utama.
BERURUS NIAGA...seorang lelaki yang berbaju Melayu dipercayai penagih membeli bekalan dadah daripada pengedar di kawasan perumahan Taman Kajang Utama.
KAJANG: Kehadiran beberapa lelaki dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan yang menjual bahan terlarang itu kepada penagih di kawasan perumahan Taman Kajang Utama di sini, yang didakwa berlarutan sejak beberapa tahun lalu kini semakin membimbangkan berikutan urus niaga itu dilakukan secara terang-terangan.
Lebih membimbangkan, jarak lokasi urus niaga itu yang hampir dengan rumah penduduk namun penagih dan pengedar terbabit seolah-olah tidak kisah perbuatan diperhatikan penduduk yang lalu lalang.

Penduduk, Ann, 40, mendakwa kawasan parkir kenderaan penduduk rumah pangsa di situ sering menjadi lokasi penjualan dadah secara terang-terangan walaupun pada siang hari.
“Aktiviti itu sangat aktif dan dijalankan hampir setiap hari terutama pada awal bulan dan mereka tidak mengendahkan kami langsung, seolah-olah mereka sedang menjual dan membeli ikan atau ayam,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Penduduk lain, Man, 30, pula berkata, sejak projek pembinaan perumahan baru dijalankan setahun lalu, operasi jual beli itu berubah strategi iaitu pengedar menunggu lebih kurang 30 minit di ‘port’ di balik rimbunan semak dalam kawasan tapak pembinaan yang ditutup dengan zink.

“Malah, zink yang dipasang pihak kontraktor itu dikopak dan dipotong bagi memudahkan mereka masuk ke dalam tapak pembinaan itu,” katanya.

Katanya, rimbunan semak di tapak pembinaan itu dijadikan lokasi pertemuan pengedar dan penagih selain sering dikunjungi individu tertentu yang dipercayai penagih dadah.

Ann berkata, penampilan sesetengah pengedar dan penagih terbabit mengabui mata penduduk kerana berpakaian kemas dan ada juga yang memakai kopiah, berbaju Melayu serta memandu kenderaan mewah.
Antara modus operandi pengedar terbabit ialah berlegar-legar dari satu tempat ke satu tempat dengan menaiki kereta sambil menunggu pembeli dan membuat beberapa panggilan telefon bagi menetapkan lokasi pertemuan untuk menjalankan transaksi.

Ada juga yang datang dengan menaiki motosikal yang diletakkan di hadapan rumah penduduk sebelum menuju lokasi tetap urusan jual beli iaitu di kawasan semak bersebelahan kawasan perumahan.

Cara lain yang digunakan ialah menggunakan rumah kosong di sekitar rumah pangsa itu sebagai lokasi untuk menjalankan transaksi.

Kegiatan terbabit membimbangkan kerana dikhuatiri kawasan rumah itu bakal menjadi lokasi tumpuan penagih dadah yang menjurus kepada masalah sosial atau jenayah lain seperti pelacuran, perjudian, kecurian dan gangguan seksual.

Penduduk mendakwa, setakat ini belum ada serbuan dibuat pihak berkuasa bagi membendung gejala pengedaran dadah di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, ketika dihubungi berkata polis sentiasa memantau aktiviti pengedaran dadah di Taman Kajang Utama dan bagi memastikan tindakan lebih berkesan diambil, polis memerlukan kerjasama orang ramai.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah supaya berhubung dengannya bagi memastikan tindakan segera diambil.

Catat Ulasan