[HARIAN METRO 13 NOV] - Zulfadli berlatih bersama Chong Wei

ZULFADLI bersama piala yang dimenangi pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Taiwan, Ahad lalu.
JIKA semuanya berjalan lancar, jaguh perseorangan badminton muda negara, Zulfadli Zulkifli dijangka bakal menjadi rakan sepelatih kepada pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.
Perkara itu didedahkan sendiri jurulatih Zulfadli, Zulkifli Sidek apabila menjelaskan, ketika ini perancangan ke arah itu sedang dalam perbincangan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menurut Zulkifli, sebaik tamat Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2011 di Taiwan, Ahad lalu, Presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan secara terbuka untuk Zulfadli menjadi rakan sepelatih kepada Chong Wei.
“Sebelum ini, memang kami ada mengemukakan permohonan kepada BAM untuk membenarkan Zulfadli menjadi rakan sepelatih kepada Chong Wei, namun telah ditolak atas sebab-sebab tertentu.
“Begitupun, selepas Zulfadli muncul selaku juara remaja dunia, Datuk Nadzmi memberitahu bahawa pihaknya bersedia untuk berbincang mengenai perkara itu sebaik kami tiba di Malaysia dari Taiwan, Isnin lalu.
“Kini, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama BAM selepas ini,” kata Zulkifli yang juga merupakan bapa kepada Zulfadli.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Penyerahan Hadiah berupa wang tunai bernilai AS$10,000 (kira-kira RM31,425) kepada Zulfadli daripada penajanya FZ Forza di atas kejayaan pemain itu muncul juara pada Kejoha- nan Badminton Remaja Dunia 2011 di Kelab Golf Bukit Jalil semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Pemasaran FZ Forza, Ryan Loo.
Ahad lalu, Zulfadli yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) mencipta sejarah baharu dalam arena sukan badminton tanah air apabila menjadi pemain Malaysia pertama muncul selaku juara remaja dunia di Taiwan.
Malah, dia turut membantu skuad badminton negara muncul juara dalam acara berpasukan campuran pada kejohanan sama.
Sebelum itu, dia turut mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan pada Kejohanan Badminton Asia 2011 di India, Julai lalu sebelum memenangi pingat pada temasya Sukan Komanwel Remaja di United Kingdom, September lalu.
Ekoran kejayaan-kejayaan tersebut, nama Zulfadli kini menjadi sebutan bagi mengambil alih tempat Chong Wei selaku pemain No. 1 negara andai dia bersara kelak.
Zulfadli yang ditanya sama ada situasai itu hanya akan menambahkan tekanan kepada dirinya dalam usaha untuk mengembangkan lagi karier dalam arena sukan badminton dunia bagaimanapun berkata: “Saya tidak menganggap ia sebagai satu tekanan.
“Sebaliknya, ia merupakan cabaran untuk diri saya bagi mengambil alih tempat Chong Wei.
“Saya sedar ia bukanlah satu tugas yang mudah tetapi saya percaya saya mampu untuk melakukannya.
“Selepas ini saya akan bekerja lebih kuat lagi bagi memastikan diri saya layak untuk menggantikan Chong Wei,” ujar Zulfadli.
Kosmo

Catat Ulasan