INDAH - Taj Mahal lambang cinta sejati

INDAH...bangunan Taj Mahal yang menjadi lambang cinta Shah Jahan terhadap isterinya Mumtaz Mahal di Agra.
INDAH...bangunan Taj Mahal yang menjadi lambang cinta Shah Jahan terhadap isterinya Mumtaz Mahal di Agra.
TATKALA dimaklumkan penulis terpilih untuk mengikuti rombongan Jamu Mak Dara melawat bumi kelahiran Mahatma Gandhi, penulis rasa sangat teruja.
Peluang seperti itu mana mungkin dipersiakan, apatah lagi lawatan terbabit menjadi tugasan luar negara pertama sejak bertugas dengan akhbar ini lapan tahun lalu.
   
  • FotoKUBU KUKUH...tembok India berhadapan Kota Amber, Jaipur.
  • FotoLEGASI MUGHAL...masjid yang dibina bersebelahan Taj Mahal di Agra.
  • FotoKREATIF...hasil seni kraftangan yang dihasilkan penduduk Kashmir menggunakan surat khabar lama di Tasik Dal Kashmir.
  • FotoENAK...roti antara hidangan masyarakat Kashmir.
  • FotoSENI...aktiviti mengasah batu permata boleh dilihat di Kota Amber, Jaipur.
  • FotoKOTA LAMA...struktur bangunan Kota Amber, yang begitu unik.
Tanpa berfikir panjang, penulis segera mendapatkan maklumat berhubung jadual perjalanan ke India bermula 5 hingga 12 Oktober lalu.

Pada masa sama, semua maklumat berkaitan lokasi perjalanan selama sembilan hari tujuh malam itu penulis peroleh menerusi carian di laman web, antaranya Srinagar, Jaipur dan Agra.

Click Here


Kunjungan penulis ke negara terbabit adalah mengikuti rombongan 16 orang yang dijemput syarikat Jamu Mak Dara dengan tujuan utamanya menghargai dua stokis di atas usaha gigih mereka menjual produk melebihi sasaran.


Sehubungan itu, wartawan dan beberapa pihak yang banyak memberi sumbangan dalam meningkatkan imej syarikat terbabit dibawa bersama pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib dan Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd, SM Gaddafi Syed Ali (Habib).

Dua stokis yang dibawa adalah pasangan suami isteri, Nik Md Salleh Nik Jaafar dan Salmah Ismail serta pasangan ibu dan anak, Ernawaty Hasan dan Puteri Nurdiana Ibrahim.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Delhi dengan menaiki pesawat MH172 mengambil masa lima jam dan rombongan penulis tiba ke negara berkenaan pada jam 11.20 pagi waktu tempatan (dua jam setengah lebih awal daripada waktu Malaysia).

Sebaik kaki mencecah bumi India, banyak masa dihabiskan dengan melelapkan mata di dalam bas sebelum menuju Jaipur di negeri Rajastan yang menjadi lokasi pertama dikunjungi.

Tidak tahu mengapa penulis berasa sungguh mengantuk, namun seorang rakan rombongan mengatakan penulis terkena ‘jet lag’ dan puncanya disebabkan masa tidur normal terganggu.

Walaupun perjalanan dari Delhi ke Jaipur mengambil masa lima jam, perjalanan pada hari pertama sangat menghiburkan. Mana tidaknya, kami dihiburkan dengan lawak jenaka artis terkenal, Jaafar Onn serta Maya yang turut serta dalam rombongan itu.

Dengan suhu sekeliling 27∞C, perjalanan pada hari kedua membabitkan hotel penginapan di Hotel Rajputana Palace Sheraton, Jaipur ke Pink City Palace yang menempatkan banyak manuskrip serta barangan bersejarah.

Ditemani pemandu pelancong yang memperkenalkan dirinya sebagai Murkesh, banyak perkara didedahkan kepada rombongan mengenai lokasi dilawati, selain tidak kering air liur memperincikan setiap soalan diajukan.

Walaupun mempunyai susur galur keluarga yang berlatarbelakangkan agama berbeza termasuk Hindu, Muslim dan Kristian, lelaki berdarah Hindustan itu banyak memberi penerangan kepada penulis mengenai sejarah negara berkenaan.

Melewati Pink City Palace, rombongan kami kemudian bergerak ke Kota Amber atau ‘Amber Fort’ yang dibina pada abad ke-17 dan di situlah wujudnya kota lama menempatkan institusi diraja India dengan kedudukan terletak di atas bukit.

Ketika menuruni bas, penulis dimaklumkan bagaimana runtuhnya empayar diraja India akibat diguling rakyatnya hingga mengakibatkan institusi berkenaan hanya tinggal monumen bersejarah untuk ditatapi rakyatnya.

Bersama Jaafar Onn, penulis menaiki gajah dari bas dengan mengambil masa perjalanan 20 minit untuk tiba ke bangunan Amber Fort yang terletak di puncak gunung dan kadar upah untuk ke atas bukit berkenaan adalah 50 rupee (RM3.50).

Di Amber Fort, banyak artifak bersejarah dapat penulis saksikan dan bagaimana kebijaksanaan maharajanya mewujudkan bangunan indah dengan hanya menggunakan teknologi tempatan untuk menghasilkan suasana sejuk dan panas.

Suasana di atas bangunan berkenaan sungguh damai saujana mata memandang dek pergunungan Jaipur yang luas, selain diselangi tiupan angin hingga meredakan keletihan badan akibat perjalanan jauh.

Di atas bangunan berkenaan, kelihatan pemandangan tembok besar India yang dibina lebih pendek jika dibandingkan dengan di China dan penulis gemar menamakannya sebagai ‘tembok China versi India’ walaupun hanya membabitkan beberapa kilometer.

Di kawasan terbabit, penulis membeli barangan hiasan seperti pen dan bekas barangan untuk dijadikan buah tangan pertama di negara terbabit.

Sebenarnya Kota Amber terletak di Amber yang jaraknya 11 kilometer dari Jaipur, dan dengan keluasan empat kilometer persegi, ia menjadi tarikan pelancongan utama di Jaipur.

Seni binanya gaya artistik, gabungan Hindu dan elemen Mughal menyebabkan Kota Amber yang juga dikenali sebagai Istana Amer sungguh unik, selain wujud benteng besar, beberapa siri gerbang dan pusat berbatu, menghadap ke Tasik Maota, di depannya.

Menurut catatan di bangunan berkenaan, istana itu didiami Maharaja Rajput dan keluarga mereka, malah ia terbahagi kepada dua.

Bahagian bumbungnya juga diletakkan kertas perak untuk memberikan kesan cahaya pada waktu malam umpama dapat melihat bintang di depan mata.

Meninggalkan istana terbabit, kami semua menginap semalam di hotel sama sebelum bertolak ke Delhi untuk meneruskan perjalanan dari Lapangan Terbang Delhi ke Srinagar di India utara selama tiga hari.

Perjalanan kami mengambil masa satu jam setengah, sebelum bermalam di rumah bot atau ‘boat house’ dan paling tidak dapat dilupakan mengenai kawasan terbabit adalah perkhidmatan perahu digelar ‘shikara’.

Bagaikan di Venice, Itali iaitu antara kota paling unik di Eropah, penulis bersama tiga rakan rombongan didayung oleh lelaki tempatan menaiki shikara dengan perjalanan untuk ke rumah bot mengambil masa 15 minit menyusuri Tasik Dal.

Selepas bermalam, pada hari keempat, hari kelima perjalanan kemudian diteruskan untuk ke pergunungan Gulmarg, namun sebelum itu kami dibawa melawat Mughal Garden atau Taman Bunga Mughal.

Menaiki gondola dengan bayaran 800 rupee (RM56) membabitkan fasa pertama sejauh tiga kilometer dan fasa kedua empat kilometer, memberi peluang kepada kami untuk menyaksikan hasil ciptaan Tuhan yang perlu disyukuri.

Tidak dapat digambarkan betapa indahnya Gunung Gulmarg ciptaan Tuhan hingga penulis merasakan diri ini terlalu kerdil tatkala berada di atas lokasi yang berkedudukan 4,500 kaki dari paras laut.

Dengan suhu terlalu sejuk di kawasan terbabit dan difahamkan ada kalanya bawah tahap beku, menyebabkan baju sejuk dan segala rongga tubuh perlu ditutup dengan kain tebal dan ketika itulah semua pakaian dibeli penulis perlu disarungkan.

Paling tidak dapat penulis lupakan, titisan salji dapat disaksikan di depan mata, walaupun jumlahnya tidak seperti di Eropah, tetapi cukup memberi pengalaman berharga, selain menyaksikan pergunungan Himalaya yang luas saujana mata memandang.

Seharian menyusuri pergunungan terbabit, kami pulang ke rumah bot dan pada hari kedua di Kashmir, kami diberi peluang merasai suasana perkampungan air di Tasik Dal, termasuk melewati perkampungan masyarakat setempat.

Tidak dapat penulis bayangkan betapa tenangnya jiwa tatkala berada di kawasan terbabit. Apa tidaknya, pertama kali dapat melihat cara hidup masyarakat tempatan yang pemalu, selain hidup dalam keadaan bersederhana.

Buktinya, semua aktiviti terpaksa dilakukan menggunakan perahu, manakala kebanyakan rumah masih dibina menggunakan kayu dan selebihnya batu hingga membuatkan terasa ingin hidup seharian dalam budaya masyarakat Kashmir di Tasik Dal.

Hari ketujuh, kami bertolak semula ke Delhi dan perjalanan menuju ke Agra di Uttar Pradesh memakan masa enam jam, sekali lagi kami tidur sepanjang hari untuk ke lokasi berkenaan bagi menyaksikan kota cinta Taj Mahal antara Shah Jahan dan Mumtaz Mahal pada hari terakhir.

Banyak perkara berlegar di fikiran penulis, apakah sebenarnya yang dicari-cari pelancong hingga bilangannya yang datang ke Agra beribu-ribu orang dalam sehari, bukan saja dilawati masyarakat luar tetapi rakyat negara terbabit turut sama ingin merasai keindahannya.

Selepas selesai merakam gambar di pintu gerbang ke Taj Mahal, perasaan penulis sekali lagi diselubungi kekaguman kerana dapat menyaksikan bangunan cinta dua jiwa pasangan suami isteri terbabit di depan mata.

Untuk menjaga kesucian kota cinta berkenaan, penulis yang diberikan sebotol air mineral dinasihatkan supaya menggunakan sarung kaki dibekalkan pihak penganjur bagi mengelak kawasan berkenaan kotor kerana dijaga rapi meskipun kedua-dua insan terbabit sudah lama meninggal dunia.

Kagum penulis dengan Shah Jahan yang sanggup membuktikan kesetiaan kepada isteri tersayang apabila mengupah serta menggerakkan 20,000 cerdik pandai dalam bidang ukiran untuk menghasilkan Taj Mahal daripada batu marmar dengan mengambil masa 22 tahun untuk disiapkan.

Menurut kisah, tahun 1631 bersamaan tahun 1040 Hijrah, pada hari panas dan kering, Mumtaz sarat mengandung dan menunggu masa melahirkan anak ke-14.

Dalam saat itu, ada sesuatu yang tidak kena pada kandungannya menyebabkan pasangan berkenaan berhenti bermain catur kerana darah mengalir tanpa henti dan saat itu dua permintaan dibisikkan Mumtaz ke telinga suami tersayang.

Pertama, Mumtaz meminta Shah Jahan memelihara cinta abadi mereka dan berjanji untuk tidak berkahwin lagi dan permintaan terakhir, Mumtaz mahukan sebuah tempat persemadian umpama mahligai di dunia, sama seperti apa yang pernah hadir dalam mimpinya.

Sebenarnya banyak lagi cerita panjang mengenai keluarga Shah Jahan hingga dia meninggal dunia pada usia 73 tahun dan ketika itu dia menyaksikan pertelingkahan empat anaknya hingga sanggup berbunuhan akibat berebut kuasa.

Melihat Sungai Jumna yang mengalir lesu menyebabkan hati penulis turut bersimpati dengan Shah Jahan, namun berharap kisah cinta pasangan suami isteri terbabit mekar dalam ingatan untuk dijadikan pengajaran, terutama kesetiaan ditunjukkan seorang suami kepada isteri.

Catat Ulasan