Tulang Dinosaur Dilelong RM8.25 Juta




RANGKA dinosaur ‘Pasangan Bertempur’ yang dilelong kepada sebuah muzium pada harga RM8.25 juta di Dallas, Amerika Syarikat, kelmarin. – REUTERS



DALLAS 14 Jun – Sejumlah koleksi pelbagai rangka dinosaur telah dilelong, termasuk ‘pasangan bertempur’ dijual pada harga AS$2.75 juta (RM8.25 juta) kelmarin.
Koleksi pasangan bertempur tersebut yang terdiri daripada rangka dua ekor dinosaur dikenali sebagai allosaurus dan stegosaurus dibeli oleh sebuah muzium.
Kedua-dua rangka tersebut ditemui di sebuah kuari di Wyoming dengan rahang allosaurus berada di kaki stegosaurus, yang menimbulkan spekulasi kedua-dua dinosaur sedang bertempur antara mangsa dan pemangsa.
Rangka seekor triceratop pula dibeli oleh pengumpul peribadi pada harga AS$657,250 (RM1.97 juta).
Jualan oleh Heritage Auctions itu melibatkan lelongan lebih 200 bahan termasuk batu meteor, bahan mineral dan fosil lain.
Heritage Auctions enggan memaklumkan nama muzium yang membeli koleksi ‘pasangan bertempur’ itu namun menyatakan ia merupakan sebuah muzium di luar Amerika Syarikat (AS).
Pengarah sejarah alam Heritage Auctions, David Herskowitz dalam satu kenyataan berkata, beliau gembira koleksi itu menemui ‘rumah’ baru yang hebat.
”Ia merupakan spesimen ikonik era-Jurasik di mana sains tidak mengetahui kedua-dua dinosaur itu hidup pada waktu yang sama dan kini rumah baru mereka akan membolehkan orang awam menyaksikannya,” katanya.
Ahli paleontologi, Henry Galiano yang menemui rangka allosaurus dan stegosaurus pada 2007 itu berkata, ia dilelong bagi membolehkan pihaknya mengumpul dana bagi meneruskan kajian dan pencarian spesimen baru.
Beratus-ratus orang hadir ke jualan lelong di Fair Park di sini bagi melihat koleksi rangka dinosaur dan artifak lain yang jarang ditemui itu. – Reuters

Catat Ulasan