[FAKTA] Purata Pengambilan Gula Harian Rakyat Malaysia Tinggi

KUALA LUMPUR – Kadar pengambilan gula dalam diet harian rakyat Malaysia berada pada paras yang tinggi dan membimbangkan dengan purata pengambilan gula sebanyak 51 gram sehari.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Tan Lian Hoe berkata kadar pengambilan itu merupakan pengambilan secara berlebihan berbanding saranan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 50 gram sehari.
“Ia menggambarkan bahawa rakyat Malaysia kini sedang diancam bahaya kesihatan yang serius dengan risiko untuk mengidap penyakit seperti diabetes ataupun kencing manis.
“Segala program tranformasi negara ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi akan terencat sekiranya tahap kesihatan rakyat Malaysia berada pada tahap kurang memuaskan,” katanya.
Teks ucapan beliau pada majlis perasmian Kempen Pengurangan Gula Dutch Lady Malaysia di sini pada Rabu dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK Mahani Tan Abdullah.
Tan berkata modal insan yang cerdas fizikal dan minda merupakan faktor kritikal dalam pembangunan sesebuah negara.
“Lebih membimbangkan lagi apabila gejala obesiti dan diabetes semakin meningkat di kalangan golongan muda yang merupakan bakal pemimpin negara pada masa hadapan,” katanya.
Justeru, Tan berkata kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin sebelum ini, bahawa Malaysia menduduki tempat pertama di kalangan negara Asean yang mengalami obesiti di kalangan rakyat dan tempat keenam di kalangan negara Asia Pasifik bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.
“Kerjasama KPDNKK dan Kementerian Kesihatan dalam melaksanakan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula yang telah dijalankan mulai tahun 2009 sehingga sekarang akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Tan berkata menjadi harapannya agar lebih banyak syarikat di Malaysia terutamanya pengeluar akan mengikut jejak langkah Dutch Lady Malaysia dalam menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan pengambilan gula dan meningkatkan tahap kesihatan rakyat negara ini. – BERNAMA
sumber: mynewshub.my

Catat Ulasan