Merdunya suara adik Nur Atikah Nabilah!

KUALA LUMPUR – “Subhanallah! Segala puji-pujian untuk Allah” penulis ucapkan apabila menonton dua buah video yang memaparkan kemerduan suara seorang anak kecil menyanyikan dua buah lagu penyanyi terkenal tanahair, Ning Baizura.
Hanya dikenali sebagai Nur Atikah Nabilah Thane, bakat yang dimilikinya menarik perhatian ramai termasuklah blog hiburan terkenal, Izyan.com, untuk memuatkan Youtube nyanyiannya di lama webnya hari ini.

Rakaman Youtube pertama dimuatkan pada 6 November lalu memaparkan Nur Atikah menyampaikan lagu berjudul Awan Yang Terpilu dan menyaksikan pelayar-pelayar internet memuji-muji kemerduan suara anak comel bertudung litup itu.

Manakala rakaman keduanya pula yang dimuatkan semalam oleh seorang individu yang menggunakan nama samaran, Harrisman153, memaparkan sebuah lagi lagu Ning berjudul Takkan Berpaling Darimu disampaikan dengan baik sekali oleh Nur Atikah.
Menurut Harrisman153, Nur Atikah merupakan sepupunya dan dia sudah mendapat kebenaran dari kedua ibubapa murid tahun empat di Sekolah Rendah Serasa, Muara ini untuk dimuat turun bakat emasnya menerusi laman Youtube.
Penulis percaya, sekiranya bakat anak kecil ini digilap oleh pihak yang sewajarnya, tidak mustahil Nur Atikah bakal menjadi antara penyanyi tersohor yang boleh dijadikan ikon terbaik Asia Tenggara pada masa akan datang.
Diasuh dengan imej bersih berhijab dan kelihatan sopan, penulis juga yakin dengan potensi tinggi yang dimiliki Nur Atikah itu tidak akan memerlukan dirinya untuk menjaja imej seksi untuk meraih populariti sebagaimana yang dilakukan segelintir artis wanita.
Saksikanlah dan hargailah anugerah Tuhan kepada anak kecil ini.

Catat Ulasan