KUALA TERENGGANU – Angkara terlalu mengikut nafsu, seorang duda kepada tiga anak sanggup menjadikan gadis bawah umur yang baru dikenali tiga minggu sebagai pemuas nafsu dengan merogolnya di dalam sebuah kontena di belakang sebuah stesen minyak di Paka, Dungun, 4 Julai lalu.
Bagaimanapun, natijah perbuatan terkutuk Jefri Hisham Devandass, 31, dari Kampung Teluk Menara, Manir, Kuala Terengganu itu terbalas setelah dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Hukuman dijatuhkan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin selepas tertuduh yang bekerja sebagai buruh mengaku bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 4 Julai lalu antara jam 8.45 malam sehingga jam 9 malam di dalam sebuah kontena di belakang sebuah stesen minyak di Paka, Dungun didakwa telah merogol seorang gadis bawah umur, 15 tahun 5 bulan.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menarik tangan mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah dan memaksa masuk ke dalam kontena tersebut lalu bertindak membuka pakaian mangsa.
Sejurus berbuat demikian, tertuduh telah merogol mangsa di atas katil di dalam kontena tersebut kira-kira lima minit.
Mangsa berjaya melarikan diri selepas tertuduh beredar dari lokasi kejadian sebaik sahaja merogolnya dan terus membuat laporan polis di Balai Polis Dungun dengan ditemani ahli keluarganya.
Laporan perubatan turut mendapati ada kesan koyakan baru pada kemaluan mangsa. Rentetan laporan dibuat, tertuduh berjaya ditangkap pada 9 November lalu kira-kira jam 10.45 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kampung Kebor Air Manir, di sini.
Sinar
Catat Ulasan