METRO 30 NOV - Aidil Zafuan intai gelaran hatrik

AIDIL ZAFUAN mengidam untuk merangkul Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik buat kali ketiga berturut-turut pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 hari ini.
TONGGAK pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Razak berharap persembahan cemerlang pada musim ini mampu melayakkannya menjulang Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik buat kali ketiga berturut-turut menjelang majlis berprestij Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 hari ini.
Persembahan konsisten tonggak berusia 24 tahun itu tidak kira ketika mewakili pasukannya mahupun pasukan kebangsaan berjaya menggondol anugerah itu sejak 2009.
“Sejujurnya, saya rasa cukup bertuah dapat meraih anugerah ini sejak dua tahun lepas.
“Jika menang lagi tahun ini, ia memang cukup istimewa, tambahan pula saya sering dibelenggu kecederaan pada musim ini,” katanya yang mula menyarung jersi Harimau Malaya sejak berusia 14 tahun.
“Saya harap saya telah melakukan yang terbaik untuk menerima anugerah terse- but tahun ini yang bagi saya bukan se- kadar anugerah biasa.
“Sebagai pemain, pengiktirafan ini benar-benar bermakna buat saya,” katanya.
Bersama kembarnya Zaquan Adha, Aidil sebelum ini berjaya membantu Negeri Sembilan muncul juara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) pada 2004 sebelum menyertai pasukan senior Sang Rusa setahun kemudian.
Mereka juga berjaya muncul juara Liga Super pada tahun yang sama.
Selain mewakili Malaysia pada dua Kejohanan Remaja Asia, Aidil juga berjaya membantu pasukan negara muncul juara Pestabola Merdeka pada 2007 selain mewakili negara pada Piala Asia pada tahun yang sama.
“Saya harap majlis sebegini dapat diteruskan bagi menghargai pemain bola sepak profesional,” katanya yang turut membantu Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia musim ini.
Untuk anugerah tahun ini, setiap calon dipilih menerusi undi kesemua jurulatih-jurulatih pasukan Liga Super dan Liga Perdana.
Sementara itu, anugerah persatuan dan pasukan terbaik akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Majlis penganugerahan itu akan berlangsung di Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam hari ini.
Kosmo

Catat Ulasan