DAH KANTOI MINUM "ARAK" BAGI ALASAN TAK MASUK AKAL



Kuala Lumpur – Alasan tidak masuk akal antaranya ‘tertekan akibat banjir’, ‘tidak tahu itu minuman arak’ dan ‘cari ahli keluarga hilang’ antara ungkapan diluahkan sebahagian 40 lelaki ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam operasi ambang sambutan tahun baru 2015 awal pagi semalam.

Dalam operasi jam 11 malam itu, pihak JAWI menyerbu dua pusat karaoke menyediakan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) di Taman Danau Desa, di sini.

Wartawan Harian Metro yang menyertai operasi itu mendapati pelanggan membayar RM100 bagi membolehkan mereka dilayan beberapa wanita beragama Islam yang berpakaian seksi.

Kebanyakan pelanggan tempatan itu turut dikesan menjadikan lokasi itu untuk berhibur sambil mengambil minuman keras.

Seorang GRO yang hanya mahu dikenali sebagai Nita, 30, memberi alasan melakukan kerja itu disebabkan terdesak mencari wang saku berikutan anaknya menghidap sakit jantung.

“Saya hanya bekerja mencari wang saku dan bukan untuk disentuh pengunjung,” katanya.

Dalam operasi dijalankan sehingga jam 4 pagi semalam, seramai 40 lelaki dan 14 wanita beragama Islam berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya minum arak dan berkhalwat.

Ketua Pegawai Penguatkuasa JAWI Wan Jaafar Wan Ahmad berkata, semua yang ditahan diberi notis pemberitahuan untuk hadir ke ibu pejabat JAWI bagi proses pendakwaan dan kaunseling.

Menurutnya, antara kesalahan dikesan adalah kesalahan mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 iaitu meminum minuman keras.

“Selain itu ada juga individu ditahan mengikut Seksyen 27 akta sama iaitu berkhalwat dan Seksyen 45 atas kesalahan penyubahatan dan percubaan melakukan kesalahan syariah.

“Pihak kami menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung salah laku orang Islam ketika menyambut sambutan tahun baru,” katanya ketika ditemui selepas operasi.

Menurutnya, tujuan serbuan itu dilakukan adalah untuk menyedarkan orang Islam perbuatan mereka itu salah di sisi agama dan sesi kaunseling akan diberikan untuk mendidik mereka supaya bertaubat.

“Sekiranya mereka tidak hadir ke sesi kaunseling tersebut tanpa sebarang sebab yang paling munasabah, kami akan buat tindakan susulan dengan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka,” tegasnya, lapor Hmetro.

Catat Ulasan