Ally Iskandar Pengacara TV3 Yang Makin Miang?


Ally Iskandar tidak dapat dinafikan masyarakat Malaysia mempunyai bakat dan pengalaman yang cukup meluas dalam bidang kerjaya bidang pengacaraan.
Hampir setiap tahun, nama beliau sudah pasti dipilih antara Top 5 Pengacara Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian seterusnya tercalon membarisi Pengacara hebat yang lain. Itu sudah dikira hebat dan satu kejayaan buat beliau.

Namun,pengendalian beliau mengendali Anugerah Skrin (ASK) baru-baru ini telah menimbulkan rasa kurang selesa dari kalangan sebilangan masyarakat. Bukan isu gandingan beliau bersama Pelakon Rozita Che Wan yang dipersoalkan, akan tetapi aksi nakal beliau mengusik Artis baru Neelofa yang terlalu kerap menyebabkan Ally dilabelkan sebagai "lelaki miang tidak bertempat." 

Sememangnya pihak KL POS yang turut membuat liputan khas ASK baru-baru ini cuba mendapatkan respons beliau berkenaan hal ini. Akan tetapi, Akhbar Berita Harian telah terlebih dahulu mendapatkan jawapan dari Ally yang juga merupakan Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI).

“Saya orang media. Apa saja yang mempunyai daya penarik pasti menjadi penambat perhatian khalayak. Saya mengusik Neelofa di Anugerah Skrin sama seperti wartawan menulis gosipnya dengan Hans Isaac di surat khabar.

“Pendekatan kita berbeza, tapi matlamat kita sama dan saya percaya selebriti pun tahu akan perkara ini kerana kita semua saling memerlukan. Apa yang penting adalah ia digayakan dengan berhemah.” Itu antara jawapan beliau berkenaan hal tersebut.

Namun Ally dilihat seorang yang bersifat rendah diri. Beliau menjelaskan segala kritikan yang diterima beliau adalah baik buat dirinya yang sentiasa mahu memastikan bidang yang diceburinya itu menghasilkan sesuatu yang lebih baik dan berkualiti di masa akan datang.

“Kerja sebegini saya kena terima yang baik dan yang buruk daripada penonton. Kalau dikaitkan dengan wanita cantik, saya tiada masalah. Yang cantik wanita itu, bukan saya.

“Sebenarnya, ketika di Anugerah Skrin 2011 sebagai contoh, banyak juga nama lain yang saya jadikan bahan usikan (David Teo, Aaron Aziz, Anuar Zain). Tapi subjek wanita cantik juga yang lebih mengesankan khalayak termasuk wartawan. Sebab itu anda tak bertanya soalan berkenaan ‘teori’ saya tentang faktor Aaron Aziz menjadi kegilaan wanita. Anda tak perasan barangkali.". 

Ally juga sempat berkongsi ilmu melalui pengalamannya dalam bidang pengacaraan.

“Tahap keserasian adalah persepsi dan ‘pre-conception’ penonton. Bagi saya, sehebat atau selemah mana pasangan pengacara, tanggung jawab saya ialah untuk memastikan dia selesa bergandingan bersama saya agar kami dapat lakukan tugas dengan berkesan,” katanya. 

Mungkin kritikan ini ada baiknya buat beliau. Menjadi lumrah dalam bidang kerjaya di kaca televisyen, sudah pasti ada yang memberi pandangan positif dan juga sebaliknya.

Walaubagaimanapun, Ally telah melakukan yang terbaik. Tidak dapat dinafikan, pengendalian program Malaysia Hari Ini hampir setiap pagi telah menonjolkan bakat kerjayanya sehingga mampu bersaing dengan pengacara-pengacara hebat yang lain.

Catat Ulasan