BERITA - Anwar beri keterangan polis kes video seks


2011/11/17

ANWAR ketika membuat sidang media selepas memberikan keterangan di Balai Polis Kepong, semalam.
ANWAR ketika membuat sidang media selepas memberikan keterangan di Balai Polis Kepong, semalam.
Pegawai kanan buat aduan berkaitan laporan palsu

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dipanggil untuk memberi keterangan berhubung laporan polis dibuatnya yang didakwa palsu membabitkan siasatan kes video seks seorang lelaki mirip beliau bersama seorang wanita warga asing, Mac lalu.

Beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di Balai Polis Kepong jam 3.15 petang bersama pasukan peguamnya sebelum beredar sejam kemudian.
Anwar berkata, beliau dipanggil memberi keterangan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana didakwa memberi maklumat palsu dalam laporan polis dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sehari selepas rakaman video itu didedahkan awal tahun ini.

“Itu yang dimaklumkan kepada saya... perlu hadir beri keterangan hari ini (semalam) kerana ada laporan dibuat oleh seorang pegawai kanan polis terhadap saya berhubung laporan saya yang didakwa palsu. Oleh yang demikian, saya hadir beri keterangan seperti diarahkan.

“Saya tidak pasti apa motif di sebalik semuanya ini... jika benar maklumat yang saya berikan (dalam laporan polis sebelum ini) palsu, mengapa pegawai polis itu mengambil masa lama untuk membuat laporan dan menyiasat dakwaan itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Kenyataan Anwar dirakamkan Pegawai Penyiasat Kanan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Asisten Superintendan Teh Boon Ang dan difahamkan 12 soalan berhubung dakwaan laporan palsu itu ditanyakan kepada beliau sepanjang siasatan. 
Pada Mac lalu, Anwar membuat laporan polis di IPD Dang Wangi selepas Trio Datuk T iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas Bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim menunjukkan video seks membabitkan lelaki mirip ketua pembangkang itu kepada media di Carcosa Sri Negara di sini.

Antara lain, beliau dalam laporan itu menafikan lelaki dalam video berkenaan adalah dirinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan Anwar dipanggil memberi keterangan, namun enggan mengulas lanjut. 

Catat Ulasan