GEMPAR - David Beckham takluk AS

David Beckham
David Beckham
TEMPOH lima tahun bersama Major League Soccer (MLS), akhirnya membuahkan hasil buat David Beckham, apabila meraih gelaran pertamanya bersama LA Galaxy, Ahad lalu, sekali gus menyempurnakan satu lagi perjalanan buat ikon sukan paling berpengaruh.
Kini, masih belum dapat dipastikan sama ada kejayaan menewaskan Houston Dynamo untuk kejayaan Piala MLS adalah lambaian terakhir Beckham di Amerika Syarikat, jika ingin kembali ke Eropah atau mungkin bersara sebagai haluannya selepas ini.
Penyokong di Home Depot Center bersorak pada akhir perlawanan, ‘Kembali ke sini, David’ , biarpun beberapa bulan terdahulu ramai pe-nyokong AS mengharapkan dia meninggalkan negara itu.

Bekas pemain tengah Manchester United dan Real Madrid tidak dapat beraksi sebahagian besar musim lalu kerana kecederaan urat keting ketika dipinjamkan ke AC Milan, satu langkah yang tidak dipersetujui ramai pihak.



Dalam usaha untuk kembali cergas musim ini, Beckham kembali ke Britain untuk berlatih dengan Tottenham Hotspur, ketika musim rehat MLS dan tidak beraksi di peringkat awal pra-musim Galaxy, bagi memberi tumpuan terhadap persediaannya di London.


“Saya mahu pergi ke satu tempat dan berlatih, bukannya berehat tiga bulan dan tidak melakukan apa-apa,” kata Beckham ketika itu.

Tetapi bukan semuanya bersetuju dengan pilihannya dan komitmen Beckham bersama Galaxy dipersoalkan apabila seorang tokoh sukan memulakan siaran televisyen musim ini dengan tayangan ringkas mengenai Beckham ‘membeli Shepherd’s pie’ di London.

Malah keadaan pernah lebih teruk daripada itu. Selepas kembali daripada dipinjamkan ke AC Milan pada Julai 2009, Beckham terpaksa berdepan kemarahan penyokong Galaxy.

‘Pergi balik, penipu’ adalah antara kata-kata yang tertulis di kain rentang di stadium Galaxy dan beberapa pemain Galaxy dikatakan tidak berpuas hati dengan sikap Beckham.

Perpindahan Beckham ke Eropah, tidak menyertai perlawanan awal musim Galaxy menyebabkan Beckham kurang disenangi penyokong AS apatah lagi dia adalah pemain yang menerima gaji tahunan paling banyak dalam liga berkenaan iaitu AS$6 juta (RM19 juta)

Begitupun pada tahun ini, pengkritik kehilangan modal untuk mencari kelemahannya.

Seperti mana selepas menjadi musuh England selepas dibuang padang ketika menentang Argentina pada Piala Dunia 1998, kemudiannya menjadi duta global bola sepak Inggeris dan mengakhiri kempen sederhana di Madrid dengan kejayaan La Liga buat Real, Beckham berjaya menepis pelbagai tohmahan.

Pemain London itu menjadi pembantu gol kedua terba-nyak liga berkenaan, bekerja keras dalam 26 perlawanan, mengatasi kesakitan dan menunjukkan kemahirannya sepanjang musim ketika Galaxy gagal ditumpaskan di laman sendiri.

Minggu lalu, pesuruhjaya MLS, Don Garber mengumumkan bahawa pemain Inggeris itu menyerlah dalam setiap aspek.

“MLS tidak akan berada di tahapnya sekarang jika David tidak membuat keputusan untuk datang ke sini dan bermain dalam Major League Soccer. Kami menghargai apa yang dilakukannya,” katanya.

Tidak dinafikan penyertaan Becham dalam MLS melonjakkan profil liga itu di peringkat antarabangsa dan domestik, biarpun ia tidak ditunjukkan dengan kedata-ngan yang tinggi dan peningkatan rating televisyen, statusnya sebagai selebriti membina momentum.

MLS masih belum menawarkan gaji kompetitif berbanding liga utama di Eropah dan Amerika Selatan tetapi Beckham turut berperanan dalam perkembangan itu.

Sama ada Beckham akan kekal di AS sebagai pemain untuk semusim lagi atau sebaliknya, masih belum belum dapat dipastikan, biarpun mungkin dia dikatakan akan terbabit dalam perkara lain.

Pemain tengah itu mempunyai peluang untuk memiliki francais MLS pada masa depan dan setiap kali diajukan soalan, dia menyatakan keinginan ke arah itu.

Catat Ulasan