Latest Gosip Aaron Aziz - Impak maksima Aaron

AARON AZIZ
AARON AZIZ
AARON AZIZ antara jejaka paling ‘hot’ ketika ini. Biarpun sudah beristeri dan mempunyai tiga cahaya mata, saham aktor ini terus melambung tinggi. Ramai jatuh cinta dengan lakonannya bahkan memasang angan-angan memiliki pasangan seperti watak-watak yang pernah dijayakan anak seni kelahiran Kota Singa ini.
Paling meninggalkan kesan, kemunculannya sebagai Seth Tan menerusi drama popular, Nora Elana yang diadaptasikan dari novel berjudul sama. Penangan siri romantik ini cukup besar hinggakan mampu membuai emosi kira-kira 800,000 penonton yang setia mengikutinya hingga ke penghujung cerita. Hasilnya, nama Aaron terpateri kukuh pada hati peminat khususnya di kalangan kaum Hawa. 
   
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
Empat tahun berkelana di layar lebar dan kaca, dia yang membintangi lebih 10 filem dan kira-kira 20 drama serta telefilem kini berada di fasa selesa. Tidak perlu lagi memperkenalkan diri atau menempuh fasa membuktikan bakat kerana kemampuannya sudah diperakui ramai.

Biarpun berjaya mengumpul ramai peminat sekali gus menjadi rebutan penerbit serta pengarah, aktor ini tidak pernah mendabik dada. Bahkan apabila ada yang melabelkan dirinya Hero Malaya, dengan rendah hati dia menolak kerana katanya gelaran itu belum layak disandangnya.



“Saya bersyukur dengan apa yang saya ada kini. Dapat bertahan dan masih ada yang sudi tawarkan watak kepada saya pun sudah besar rahmat. Secara peribadi, susah untuk saya letakkan piawaian pada diri.


“Mungkin tak perlu lagi perkenalkan diri kerana orang sudah tahu kemampuan saya. Fasa untuk buktikan apa yang boleh saya buat sudah lepas dan untuk komen lebih daripada itu saya tidak berani kerana adalah lebih molek jika penonton dan orang sekeliling yang menilainya.

“Apapun saya bertuah kerana kehadiran dalam industri seni Malaysia disambut baik bahkan dari awal saya digandingkan dengan nama-nama besar dan berpengalaman termasuklah Rita Rudaini, Erra Fazira, Sharifah Amani dan Maya Karin. Kelebihan itu secara tidak langsung membuatkan laluan saya semakin mudah,” katanya.

Aaron semakin dekat di hati masyarakat apabila menjadi pilihan utama penerbit melakonkan watak utama naskhah yang dizahirkan daripada novel kesukaan ramai.
Bagai tertulis takdir, perwatakannya kena dengan ‘hero’ Ombak Rindu, Badai Semalam, Nora Elena, Stanza Cinta dan terbaru bakal memulakan penggambaran Februari depan, Adam dan Hawa.

Sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran jejaka bertubuh tegap ini tetapi senario itu seakan bonus buatnya.

“Alhamdulillah, mungkin sudah tertulis itu rezeki saya. Seronoknya menerusi drama yang diadaptasikan daripada novel lebih mudah menarik perhatian penonton.
Novel yang terpilih biasanya adalah yang terlaris dan ramai orang suka. Pembaca biasanya akan jatuh cinta dengan watak-watak dalam novel yang dibaca dan ini akan buat mereka lebih cepat suka dengan persembahan pelakon apabila ia dizahirkan ke layar kaca atau lebar.

“Misalnya Nora Elena, pembaca novel itu sudah tahu dan faham watak Seth Tan dan apabila dilakonkan di skrin mereka lagi suka. Ia beri impak besar dalam karier saya.

“Bagaimanapun ada cabarannya kerana saya harus pastikan diri benar-benar kenal dengan karakter dan bawa mengikut apa yang digambarkan penulis novel. Andai tersasar atau kurang menjadi, pasti merosakkan mood penonton.

“Apapun saya bersyukur Nora Elena mendapat sambutan luar biasa malah Stanza Cinta juga ada pengikut. Harap Ombak Rindu yang akan menemui penonton bulan depan mendapat maklum balas positif.

“Penggambaran Adam dan Hawa akan bermula Februari ini. Biarpun masih dalam proses perbincangan, saya sudah memberikan persetujuan. Penggambaran drama 80 episod ini akan ambil masa sekurang-kurangnya empat bulan dan akan dilakukan dalam dan luar negara seperti di Perth, Makkah serta Taj Mahal,” katanya.

Bergandingan dengan ramai nama besar mahupun menerajui watak utama belum buat Aaron puas kerana hanya bekerjasama dengan kira-kira 30 peratus penggiat seni tanah air. Masih ramai yang mahu didekati kerana menerusi kerjasama, banyak ilmu yang diperolehi secara langsung mahupun tidak langsung.

Mengulas lanjut perihal ini, Aaron berkata teringin benar dia berlakon di sisi Erma Fatima, Rosyam Nor, Datuk Rahim Razali, Azean Irdawaty dan ramai lagi pelakon senior.

“Saya percaya ada magis yang wujud jika berlakon di samping mereka yang lama pengalaman dalam industri. Sebelum ini saya pernah bekerja di bawah arahan Erma dan pernah berlakon di bawah rumah produksi milik Rosyam Nor tetapi hasrat berlakon bersama belum kesampaian.

“Kebelakangan ini bagaikan gelombang baru apabila saya sering digandingkan dengan pendatang baru dan muda seperti Siti Saleha, Fathiya dan Neelofa.
Mungkin penerbit dan pengarah mahu cari kelainan. Apapun ramai yang suka saya beraksi di samping Siti Saleha dan mereka menyifatkan kami pasangan paling cocok di skrin.

“Begitu juga dengan kepercayaan TV9 yang memberi peluang kepada untuk mengarah telefilem Kekasih Awal dan Akhir yang ditayangkan baru-baru ini.

“Drama itu juga saya bergandingan kali kedua bersama Siti Saleha. Ini percubaan pertama mengarah biarpun sebelum ini pernah duduk di kerusi pengarah di Singapura,” katanya.

Peluang menghidupkan pelbagai karakter menjadikan jejaka ini makin bersemangat melontarkan sisi lakonan berbeza. Saban hari dia cuba mencari pembaharuan dalam atur langkahnya dan kepuasan itu diperolehi menerusi watak antagonis dalam drama Jiwa dan Lara.

Tidak peduli andai ada yang membenci atau marah kerana apabila wujud rasa itu bermakna persembahannya menjadi. Untuk muncul sebagai pelakon yang baik, dia sedar perlu mempelbagaikan persembahan bahkan tidak wajar memilih karakter kerana tawaran yang datang itu adalah rezeki. Selagi ada kelapangan, baik besar atau kecil watak pasti diterima dengan hati terbuka.

“Saya seronok berlakon dalam Jiwa dan Lara. Keputusan TV3 memberikan watak psiko kepada saya satu tindakan bijak. Ramai tidak sangka saya boleh bawa watak ini kerana selalunya karakter antagonis dihidupkan oleh mereka yang punya fizikal ganas.

“Setakat ini maklum balas yang saya terima sangat positif. Biarpun mereka benci karakter itu tetapi tidaklah sampai terbawa-bawa tidak suka dengan saya. Mereka tahu itu sekadar lakonan,” katanya.

Aktor yang akan masuk ke gelanggang penggambaran KL Gangster 2 pada 1 Disember depan ini baru saja usai penggambaran filem Prince of the City terbitan Axis Line Entertainment Sdn Bhd yang diarahkan oleh Roslan Hussin.

Tampil sebagai pembunuh upahan bernama Iskandar, Aaron berasa bertuah kerana dapat beraksi di samping bintang Hollywood, Michael Madsen. Biarpun hanya tiga hari bersama, ia satu pengalaman yang cukup berharga buatnya.

“Saya melihat filem berbahasa Inggeris sepenuhnya ini sebagai satu percubaan berani penerbit tempatan. Ia juga satu permulaan yang baik jika mahu mengangkat filem kita ke mata dunia.

“Saya sedia maklum mungkin penonton susah menerima filem tempatan berbahasa Inggeris sepenuhnya tetapi saya tetap terima tawaran ini. Bagi saya, ia satu eksperimen. Selama ini ramai fikir pelakon Melayu tidak berapa fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan filem ini mungkin boleh membuka mata ramai.

“Pihak produksi maklumkan filem ini akan cuba dipasarkan di luar negara termasuk Eropah dan Amerika Syarikat. Filem ini diterajui oleh Juliah Cheah, Jehan Miskin, Wan Hanafi Su dan saya memegang watak pembantu,” katanya yang akan berada di Istana Budaya hari ini untuk pementasan terakhir Badai Semalam.

Catat Ulasan