Metro 12 Nov - Kumpulan pertama jemaah haji pulang esok

MEKAH 11 Nov. – Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah pada pukul 7.25 pagi Sabtu (12.25 tengah hari waktu Malaysia) dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.25 malam waktu Malaysia.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, sementara itu jemaah haji dari kumpulan yang pertama ke Madinah dari sini pula akan berlepas pada 16 November ini dan kumpulan pertama dari Madinah yang akan kembali ke tanah air ialah pada 27 November.


Beliau berkata, 33 peratus daripada jemaah haji Malaysia akan kembali ke tanah air menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad di Madinah, manakala selebihnya menerusi Jeddah.

“Penerbangan terakhir dari tanah suci ialah pada 10 Disember ini dan ia tiba di tanah air pada keesokkan harinya,” katanya kepada kumpulan media Tabung Haji di sini.
Sementara itu merujuk kepada operasi pengurusan jemaah haji Malaysia kali ini, Syed Salleh berkata, beliau bersyukur kerana segala yang dirancang berjalan dengan lancar. – Bernama

Catat Ulasan