Metro 12 Nov - Lelaki dera, tanam anak kekasih

ANGGOTA polis mengangkat mayat kanak-kanak yang ditemui ditanam di belakang sebuah rumah di Taman Kwang Tong, Seremban baru-baru ini.
SEREMBAN – Seorang ibu hanya mampu menangis apabila melihat anak perempuannya yang berusia dua tahun mati akibat didera oleh teman lelakinya sendiri sebelum mayat kanak-kanak itu ditanam di belakang rumah sewa mereka di Taman Kwang Tong di sini pada Julai lalu.
Lebih menyayat hati, mayat kanak-kanak malang itu hanya ditemui pada Sabtu lalu kira-kira empat bulan selepas ditanam.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, ibu mangsa tidak mampu menghalang perlakuan kejam teman lelakinya itu kerana diugut dan dikurung di dalam rumah berkenaan.
“Bagaimanapun, kejadian itu terbongkar selepas wanita itu berjaya melarikan diri pada Jumaat lalu dan terus membuat laporan polis.
“Bertindak daripada laporan berkenaan, kita menyerbu rumah terbabit dan menemui mayat kanak-kanak itu yang ditanam dalam sebuah lubang sedalam kira-kira 0.6 meter di belakang rumah,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Namun ujar Osman, ketika serbuan dilakukan, teman lelaki wanita itu yang berusia 30 tahun sudah melarikan diri.
Menurutnya, wanita itu mendakwa anaknya meninggal dunia pada 3 Julai lalu.
“Akibat panik, lelaki terbabit terus menanam mayat kanak-kanak itu pada malam hari yang sama,” jelasnya.
Kosmo

Catat Ulasan