METRO 23 NOV - Neelofa akui sukar menangis




KEMUNCULAN mereka pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24), baru-baru ini mendapat perhatian bukan saja kerana masing-masing anggun bergaya namun disebabkan sketsa lakonan mereka di pentas.
Malam itu Neelofa dan Shah Jaszle memberikan sedikit sedutan babak romantik daripada filem Azura versi terbaru arahan Aziz M Osman. Filem yang menjalani penggambaran di luar negara itu akan ditayangkan pada sekitar Februari depan. 
Bagi Neelofa, 22, filem pertamanya itu sangat bermakna kerana dia memegang watak Azura yang pernah dihidupkan Fauziah Ahmad Daud (Ogy).

Azura (1984) arahan Deddy M Borhan turut menampilkan Jamal Abdillah, Yusni Jaafar, Raffi Hussein, A Galak dan Maria Arshad.



“Azura dulu dan kini tentunya berbeza kerana pengarah, pelakon dan lokasi semuanya tidak sama. Saya memang berdebar menunggu filem ini kerana saya tahu peminat filem Azura dulu memang ramai.


“Saya juga bersedia dikritik kerana ia filem pertama saya. Lebih-lebih lagi apabila muncul dalam sebuah karya yang pernah popular, secara tidak langsung penonton akan terdorong membuat perbandingan. Itu perkara biasa.

“Namun saya dipesan Aziz agar tidak terlalu tertekan dengan apa yang pernah ditonjolkan dalam Azura versi lama. Sebaliknya, kami semua perlu menampilkan corak lakonan tersendiri mengikut skrip yang dihasilkan.

“Saya terasa lega kerana mendapat bimbingan pengarah berpengalaman seperti Abang Aziz. Dia sangat ‘cool’ dan banyak memberi galakan kepada saya untuk menjayakan setiap babak.

“Namun saya tidak boleh lupa babak menangis yang sememangnya susah untuk dilakukan. Maklumlah saya ketika itu masih cetek pengalaman. Babak menangis cukup susah kerana saya sendiri bukan jenis yang mudah menangis,” katanya.

Selain Neelofa dan Shah Jaszle, Azura terbitan Ace Motion Pictures Sdn Bhd
itu turut dibintangi Afdlin Shauki, Nini Marlini, Erma Fatima, Afida Es, Kenchana Dewi, Chomell Fana, Bort Sharade, Livonia, Lia Ricky, Ku Hariz dan penampilan khas Ogy.

Ia turut dimantapkan Faizal Hussein, Jaafar Onn, Aman Shah dan pereka fesyen, Calvin Thoo.

Mengakui dirinya masih dikategorikan antara pelakon yang ‘masih hijau’ dalam industri seni di Malaysia, Neelofa bagaimanapun terharu kerana semakin banyak mendapat tawaran daripada produser tempatan.

Malah dia terkejut kerana dilamar TV3 bagi mengacarakan program bercorak majalah bagi golongan wanita, Nona, di samping Fara Fauzana.

Bercerita lanjut mengenai pembabitan awal dalam bidang lakonan, pada mulanya Neelofa yang juga Juara Dewi Remaja 2010, sekadar cuba menghadiri uji bakat filem berkenaan.

Walaupun memaklumkan dia awalnya tidak mahu berlakon, sebaliknya lebih berminat menjadi pengacara, peluang keemasan yang diberikan Aziz itu dirasakannya harus dimanfaatkan dengan baik.

Akhirnya, Neelofa bersetuju menerima tawaran Aziz membintangi filem itu. Siapa sangka bakat lakonan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini mula mendapat perhatian ramai penerbit dan pengarah tempatan sehingga dilimpahi pelbagai tawaran berlakon.

Disebabkan itu juga, Neelofa terpaksa menangguhkan buat sementara waktu pengajiannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda, Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran, Sunway University College, Selangor.

Selain filem pertama, lakonan Neelofa sebagai Suraya dalam drama bersiri Tahajjud Cinta di TV3, turut memberikan impak tersendiri. Dia berterima kasih kepada Erma kerana memberi peluang dan banyak tunjuk ajar kepadanya.

Malah drama berkenaan menyaksikan kerjasama kali ketiganya bersama Erma selepas Kekasih Najihah dan Kitab Cinta.

“Alhamdulillah ramai yang memberikan maklum balas yang baik terhadap lakonan saya dalam Tahajjud Cinta. Penampilan sebagai Suraya menampakkan karakter dari sisi berbeza dalam diri saya. Ternyata drama bersiri itu membuka mata banyak pihak.

“Bukan bermaksud saya selesa melakonkan watak jahat atau antagonis. Namun setidak-tidak saya mahu membuktikan kemampuan dan menimba pengalaman melakonkan beberapa watak setakat ini,” katanya.

Selain berlakon, Neelofa turut menjalankan perniagaan menjual kasut wanita secara online menerusi blognya di alamat neelofaheels.blogspot.com. Dia akui hobinya memang suka mengumpul kasut dan suatu hari nanti mahu memiliki perniagaan yang lebih besar.

Mengenai gosip cintanya dengan Hans Isaac, Neelofa berkata dia hanya bersahabat karib dengan pelakon Misteri Jalan Lama itu kerana mereka sama-sama berlakon dalam sebuah produksi.

Katanya belum sampai masanya untuk bercinta secara serius dengan mana-mana lelaki kerana dia masih baru bertapak dan mencari fokus dalam kerjaya.


Catat Ulasan