Rumah Mulan Jameela terbakar

JAKARTA: Kediaman artis Mulan Jameela yang terletak di Pondok Indah, Jakarta Selatan mengalami kebakaran, kelmarin. Bagaimanapun, api yang membakar bilik air selebriti berkenaan dapat dipadamkan sebelum ia merebak ke bahagian lain.
Seorang jiran menyatakan kebakaran itu disebabkan oleh litar pintas. Kepulan asap yang memenuhi ruang kediaman membuatkan Mulan dan anak-anaknya cemas.
“Kediaman Mulan mengalami kebakaran akibat litar pintas kelmarin dan asap berkepul-kepul memenuhi bahagian dalam rumah. Bagaimanapun, mujur sempat dipadamkan,” kata jiran itu ketika ditemui dekat kediaman Mulan, semalam.
Ekoran kejadian itu, penyanyi ‘Wonder Woman’ itu dikatakan membawa anak-anaknya menginap di hotel.
Hal itu dinyatakan Mulan melalui tulisannya dalam laman Twitter. Dia memberitahu rumahnya penuh kepulan asap akibat kebakaran itu. “Rumah saya berbau asap yang amat kuat, jadi saya terpaksa membawa anak-anak menginap di hotel,” tulisnya.
Mulan berkata, dia bersyukur kerana anak-anaknya selamat dan kebakaran itu tidak merebak ke kediaman lain di kawasan berkenaan.
sumber: hmetro.com.my

Catat Ulasan