SENSASI - Scha Al Yahya Idam peranan lebih serius!

JELITA...Scha mengharapkan magis dalam kerjaya lakonannya.
JELITA...Scha mengharapkan magis dalam kerjaya lakonannya.
BAGAI stigma yang terus melekat pada pemilik wajah manis dengan senyum meleret, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al Yahya atau Scha, 28, setiap kali muncul di layar lebar mahupun televisyen, lakonannya masih bernafas atas paksi yang sama.
Namun setiap kali itu juga Scha membalas dengan senyum untuk terus optimis dan menyifatkan semua itu adalah satu kritikan yang akhirnya menyuntik seribu semangat. 
   
  • FotoKOMITED...Scha dan Salina sempat singgah di Karnival Gegaria di Temerloh bulan lalu bagi mempromosikan Aku Bukan Tomboy.
  • FotoSERASI...pertama kali disatukan Syamsul, Scha dan Sam menjanjikan sesuatu yang istimewa.
Hakikatnya, Scha akui sukar melepaskan dirinya dari terus terperangkap dengan watak Dania dalam drama siri popular yang memperkenalkan nama dan bakatnya sebelum ini, Awan Dania.

Jelas watak yang dihidupkan, gadis lasak yang kasar namun punya perasaan sayang jauh tersembunyi melekat terus di hati peminat hingga sukar buatnya untuk lari. Tidak sekadar itu, perwatakan dan personaliti�nya juga bagai sudah sinonim dan selari hingga watak yang ditawarkan buatnya tidak banyak berubah.



Katanya, semua itu adalah rezeki dan ketentuan yang tersurat buatnya sebagai pendatang baru yang masih gigih membina nama. Biar ada yang cuba memalit gelaran ‘streotype’ kepadanya, ia tetap disifatkan penghargaan hingga ramai pihak yang menabur rasa percaya untuk memberinya watak sebegitu.


“Bukan sehari dua saya ditanya sebegini namun jawapan yang ada masih sama.
Watak Dania begitu kuat dan ia adalah titik permulaan memperkenalkan nama dan bakat saya. Justeru tidak mustahil ia kekal menjadi satu pesona seorang pelakon kepada saya.

“Namun ia tidak bermakna saya tidak mampu mencuba yang lain sebaliknya rezeki yang datang belum boleh menggerakkan saya ke fasa yang berbeza.

“Saya sendiri memang mengidamkan watak lebih serius dan banyak bermain dengan emosi dalaman.

“Lakonan Nasha Aziz dalam Trauma umpamanya banyak memberikan saya inspirasi untuk tampil sebegitu satu hari nanti jika diberi peluang.

Insya-Allah saya akan pertimbangkan jika ada pihak yang ingin memberi peluang dan saya yakin mampu melakukannya.

“Jika dilihat dari perspektif berbeza, saya gembira kerana pihak produksi tidak henti memberi kepercayaan kepada saya membawa watak gadis lasak dan kasar begitu. Ada beberapa tawaran terpaksa saya tolak kerana diberikan watak sama,” katanya.

Anak kacukan Melayu, Arab dan Cina ini sekali lagi diberi kepercayaan membangunkan watak utama dalam filem terbaru sentuhan sutradara muda, Syamsul Yusof melalui Aku Bukan Tomboy yang kini ditayangkan di pawagam sejak Khamis lalu.

Meskipun berkali-kali dirinya menjelaskan kelainan yang cuba dibentuk, keseluruhan pada mata kasar, watak Farisa yang didukung masih sama.

Malah skrip Aku Bukan Tomboy ditulis Datuk Yusof Haslam khusus untuk Scha selepas melihat lakonannya dalam Evolusi KL Drift 2.

Bergandingan dengan barisan pelakon terkenal lain termasuk dua aktor kacak, Shaheizy Sam dan Syamsul sendiri selain Salina Saibi, Sheera Iskandar, Harun Salim Bachik, Eira Syazira dan Zarina Zainoordin, anak kedua daripada empat beradik ini menyifat�kan dirinya terlalu kerdil jika dibandingkan dengan yang lain.

Mengakui tidak semudah dilihat bagi membawakan watak Farisa meskipun masih sama personaliti luarannya, ia adalah satu pengalaman manis yang jelas membuka ruang terbaik untuk terus mengutip ilmu dan mengukuhkan empayar lakonannya.

“Memang watak Farisa masih sama, lasak, kasar dan keanak-anakan. Namun ini adalah satu cabaran kepada saya kerana sejak awal lagi Datuk Yusuf dan Syamsul memerhati gerak lakonan saya kerana bimbang ia akan menyamai Dania.

“Pemerhatian Datuk terutamanya begitu tajam dan teliti kerana dia inginkan sesuatu yang berbeza daripada saya. Dania seorang perempuan yang bergaya, menggunakan mekap dan masih penuh sifat lembut�nya berbeza dengan Farisa.

“Keseluruhan plot watak yang cuba diserap memang berbeza baik dari aspek personaliti, pemakaian mahupun jalan cerita yang diberikan. Saya sendiri dapat merasai kelainan yang cuba diterjemahkan Syamsul menerusi filem ini.

“Saya lebih puas berkarya dan melakukan eksperimen sendiri yang mana Farisa mampu mengusik emosi dan jiwa penonton dengan hanya bersandar pada wataknya sendiri. Saya yakin penonton akan terhibur,” katanya yang mengakui ada melakukan beberapa perubahan pada watak Farisa bagi mencantikkannya lagi.

Mengenai gandingannya bersama Sam dan Syamsul, Scha yang sebelum ini tampil hebat dalam Antoo Fighter dan Libas, mengakui gandingan mereka bertiga memberikan satu pengalaman baru.

Mengenali Syamsul sebelum ini dalam beberapa filem bersama, Scha tidak pernah mengubah persepsinya yang pengarah muda itu seorang yang berbakat besar dan punya kredibiliti tinggi.

Namun pertemuan kali pertama dengan Sam dianggapnya perkenalan yang baik apabila keserasian antara mereka mudah diikat hingga tidak lama membina jiwa dalam gerak lakonan di lokasi penggambaran.

“Saya mengagumi mereka berdua kerana masing-masing punya profil kerjaya dan deretan peng�iktirafan dalam lapangan seni. Saya memang terlalu kecil jika dibandingkan mereka berdua.

“Namun baik Sam mahupun Syamsul, mereka tidak melihat apa yang saya rasakan janggal sebagai satu masalah sebaliknya pelbagai persoalan kami bincang�kan bersama bagi menguatkan lagi perjalanan cerita.

“Perasaan gusar dan malu awalnya itu hilang kerana mereka berdua memimpin saya bagi memberikan sebuah jalinan lakonan yang sama dan selari.

“Saya seronok belajar daripada apa yang cuba disampaikan bagi memperbaiki mana yang perlu.

“Sam umpamanya begitu mudah memberi jiwa kepada saya dan mengasah gerak lakon untuk menyusur sama dengannya.

“Syamsul pula sudah biasa mengarahkan saya dan tahu mana kekuatan yang harus saya tekankan.

“Pendek kata, gandingan kami bertiga dengan barisan pelakon yang lain akan membuatkan penonton terhibur dan rasa terikat untuk menonton hingga ke akhir cerita,” katanya yang sedang mempertimbangkan tiga tawaran.

Aku Bukan Tomboy mengisahkan gadis tomboi, Farisa yang dibesarkan bapanya selepas kehilangan ibunya sejak kecil.

Di sebalik hati seorang gadis kasar, Farisa menyimpan hati kepada seorang lelaki yang akhirnya menjeratnya ke kancah cinta tiga segi antara Harry dan Burn. Selain mengharungi cinta dengan Harry dan Burn, Farisa tidak terlepas dari kecaman dan gangguan golongan ‘pengkid’ seperti Bell dan Sam yang turut mengharap�kan cintanya. Farisa bosan dan rimas kerana enggan terjebak dengan hubungan songsang.

Persoalannya, adakah terlalu sukar buat si gadis tomboi untuk merasai kehidupan sebagai gadis normal yang bencikan hipokrasi demi memiliki cinta sejati? Namun itulah hakikatnya yang cuba dipaparkan dalam filem ini.



PROFIL:

Nama Sebenar: Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al Yahya
Tarikh Lahir: 30 Mei 1983
Umur: 28 Tahun
Asal: Sungai Petani, Kedah
Status: Bujang
Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
Pencapaian: Juara Dewi Remaja 2006

Drama: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu, Awan Dania 2, Sadiq & Co Dan Kita Carefree

Filem: Antoo Fighter, Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi Kl Drift 2, Libas, Aku Bukan Tomboi dan Awan Dania The Movie

Pengacaraan: Chopp!, Sehati Sejiwa, Sehati Berdansa 3 dan Kata Kau
Komersial: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom Dan My Eg
Duta: Bio Essence

Catat Ulasan