Shaheizy Sam berlakon bukan untuk anugerah

SESEKALI bicaranya disulami ketawa kecil saat diusik tentang status dan gelarannya sebagai bintang paling popular serta pelakon lelaki nombor satu negara yang digalas Shaheizy Sam kini.
Dengan penuh rendah diri, Shaheizy Sam atau lebih mesra disapa Sam ini menganggap semua yang dikecapinya lewat ini adalah rezeki daripada Allah SWT.
Sudah pasti kata Sam, ia juga adalah berkat kesabaran dan kerja keras selama hampir 15 tahun membina nama dalam persada seni tanah air.
“Bukan mudah sebenarnya untuk saya berada di tempat dan kedudukan seperti hari ini. Tetapi, saya sering ingatkan diri saya bahawa apa yang dimiliki ini bukanlah satu tiket untuk saya duduk dan menggoyangkan kaki.
“Jujurnya, saya sendiri juga tidak pernah menyangka untuk menikmati kemasyhuran dalam sekelip mata sebaik sahaja saya membuat kemunculan semula sekitar dua tahun lalu.
“Tiada lain yang mampu saya katakan hanyalah bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan peminat yang tidak pernah henti menyokong saya,” ujarnya penuh bersungguh ketika dihubungi Hits, baru-baru ini.
Barangkali ada yang menyangka Sam adalah pelakon baru yang semakin menempa nama sebagai seorang aktor popular.
Tetapi sebetulnya, anak kepada dramatis terkenal, Khaty Fauziah ini telah mencipta nama sekitar pertengahan tahun 90-an menerusi drama Pa’e yang pernah ditayangkan di TV3 pada usia 15 tahun.
Menerusi drama itu, nama Sam terus melonjak naik dan mampu berdiri setanding dengan kakaknya, Zizie Ezette yang merupakan salah seorang aktres wanita popular ketika itu.
Malah, sempat juga Sam dan Zizie membintangi sebuah filem, Sama Tak Serupa yang diarahkan oleh Allahyarham Datuk Yuzwan Wahid pada tahun 1995.
Mungkin juga ada yang tidak tahu, Sam juga sebenarnya pernah menceburi bidang nyanyian dan menubuhkan kumpulannya sendiri, MOB.
Selepas itu, Sam mendiamkan diri dan namanya hampir dilupakan sehinggalah dia muncul kembali dengan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam pada tahun 2009.
Popular
Bermula detik itu, popularitinya dengan pantas mencanak naik sehinggalah dia terus berada di puncak kegemilangan hari ini dengan 12 buah filem yang sudah dilakonkannya sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Lebih membanggakan lagi buat Sam apabila tiga daripadanya mencatatkan rekod baru dalam industri perfileman tanah air dengan kutipan pecah panggung luar biasa iaitu Ngangkung dengan kutipan RM8.18 juta, Kongsi (RM8.09 juta) dan Adnan Sempit (RM7.66 juta).
“Saya sendiri pun tidak pernah menyangka filem-filem tersebut dapat mencapai kutipan sebanyak itu. Saya juga harus akui menerusi filem-filem ini jugalah bakat lakonan saya diterima baik oleh peminat dan penonton filem tempatan.
“Sudah pasti, saya mahu mengekalkan momentum yang sama sampai bila-bila tetapi saya juga harus sedar bahawa dunia hiburan ini seperti roda yang berputar.
“Apa yang saya miliki ini juga adalah harga yang perlu dibayar kerana saya harus akui sepanjang tempoh dua tahun ini, saya telah bekerja tanpa henti,” kata pemuda berusia 28 tahun ini tanpa selindung.
Dek kerana wajahnya acap kali ‘dijual’ oleh penerbit untuk menarik perhatian penonton ke pawagam, ada yang mula memberikan komen yang kurang enak tentang Sam.
Bukan yang berbaur negatif, sebaliknya ramai yang kini sudah melihat lakonan Sam sudah menjadi statik, stereotaip serta tidak ada pembaharuan dalam teknik lakonannya.
Saat diajukan soalan itu kepada Sam, sedikit pun dia tidak melenting malah dia cukup sedar dengan situasi itu.
Bimbang
Atas alasan itu jugalah kata Sam, dia telah mula bercuti sejak bulan Ramadan lalu sehinggalah ke penghujung bulan November ini bagi merehatkan minda dan tubuhnya.
Ujar Sam lagi, ada kalanya memang wajar untuknya mengambil cuti yang panjang kerana dapat menyegarkan dirinya dan menjadi seorang yang baru apabila kembali bekerja kelak.
“Saya memang cukup bimbang jika tidak dapat memberikan lakonan yang memberangsangkan dan meninggalkan kesan kepada penonton seandainya tiada pembaharuan yang dapat saya tampilkan.
“Dalam masa yang sama juga, saya harus menjadi realistik terhadap kerja saya di mana saya tidak boleh terlalu memilih atau menjadi seorang yang demanding dalam menerima tawaran bekerja.
“Nasib seorang pelakon di Malaysia ini bukan seperti Hollywood yang mana mereka boleh hidup mewah hanya dengan sebuah filem sahaja. Mahu atau tidak, saya perlu terus berlakon demi menyara kehidupan saya dan keluarga,” katanya yang akan muncul dengan filem Aku Bukan Tomboy dan Songlap sebelum penghujung tahun ini.
Bukan itu sahaja, Sam juga meluahkan isi hatinya yang mahu membawakan watak-watak yang lebih mencabar dan sudah semestinya dia mahu berlakon dalam filem bergenre drama.
Tetapi, jelas Sam, selepas melihat trek rekodnya sepanjang membintangi 12 buah filem, peminat lebih menggemari Sam membawakan watak komedi.
Buktinya, filem-filem komedi lakonannya lebih menyerlah dan mencatatkan kutipan luar biasa berbanding dengan watak serius yang tidak begitu memberangsangkan dari segi kutipan seperti filem Sekali Lagi.
“Kerana itu jugalah, selepas ini filem terbitan saya bersama Zizie, kami juga akan mengekalkan formula yang sama dengan mempertaruhkan genre komedi aksi kerana itu yang dimahukan peminat.
“Saya masih belum memikirkan siapakah pengarah mahupun barisan pelakon yang akan membintangi filem ini bersama-sama saya. Buat masa ini, semuanya masih di peringkat pra-produksi dan insya- Allah, ia akan diumumkan apabila semuanya sudah bersedia,” kata pemilik trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 menerusi filem Evolusi KL Drift 2 ini lagi.
Eksklusif
Melihatkan kekerapan wajahnya di layar lebar, ada juga yang mengatakan Sam telah meletakkan dirinya sebagai seorang yang cukup eksklusif dan tidak mahu berlakon dalam drama tempatan.
Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tidak berasas itu, Sam menjelaskan masa merupakan kekangan terbesar untuknya membintangi drama tempatan.
“Saya tidak meletakkan diri saya sebagai eksklusif. Kalau ada masa terluang, memang saya akan dan mahu berlakon drama. Cuma, sekarang ini, saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk berlakon drama walaupun tawaran memang banyak,” katanya yang pernah membintangi drama bersiri seperti Adnan Sempit The Series dan Asmara tahun lalu.
sumber: utusan.com.my

Catat Ulasan