Ternak Tikus Untuk Dapatkan Ganjaran RM3 Seekor

BANGKAI…Pembantu Kesihatan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohd Hafifi Mohd Sani menunjukkan tikus yang ditangkap dalam Ops Tangkap Tikus di Taman Angsana Hilir, semalam.
AMPANG: “Jangan jadikan tikus sebagai haiwan ‘ternakan’ semata-mata untuk mendapatkan ganjaran RM3 seekor diberikan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),” kata Timbalan Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain ketika majlis perasmian penutup Operasi Tangkap Tikus di Pandan Dalam, di sini, semalam.
Katanya, penduduk diminta tidak mengambil peluang ganjaran itu untuk menjana ekonomi masing-masing, sebaliknya perlu mengamalkan kebersihan.
“Sudah dua tahun program ini dianjurkan dan penambah baik dilakukan dari segi ganjaran iaitu dulu seekor tikus RM1 dan kini ditambah kepada RM3 untuk menarik lebih banyak penyertaan. “Sejak program itu dilancarkan pada Januari lalu, lebih 2,400 tikus dikumpulkan. Ternyata kaedah ini berkesan, malah menarik perhatian penduduk untuk menangkap tikus. Buktinya di kawasan Zon 15, Pandan Dalam, sudah tiga kali program sama dianjurkan dan mengumpulkan 1,600 tikus,” katanya.
Abd Hamid berkata, di kawasan MPAJ, masalah tikus menjadi ancaman kepada penduduk di Taman Dagang, Taman Cempaka dan Kampung Cheras Baru.
Katanya, pelbagai kaedah digunakan termasuk mendapatkan khidmat pihak kawalan haiwan perosak, tetapi masih gagal diatasi hingga memaksa MPAJ bersama Ahli Majlis setiap zon menganjurkan kempen menangkap tikus selama 11 bulan bermula Januari lalu.
“Kami memerlukan kerjasama peniaga restoran, gerai makanan dan pemilik rumah memastikan tahap kebersihan di premis masing-masing berada pada tahap terbaik.
“Jadual kutipan sampah sudah diubah bagi meningkatkan kebersihan dan memastikan tikus tidak membiak kerana kawasan pembuangan sampah menjadi lokasi utama haiwan berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, tikus bandar membiak cepat dengan berat boleh mencecah sekilogram seekor dan melahirkan anak sehingga 15 ekor setahun.
Sumber: Metro

Catat Ulasan