Zizan Raja Lawak Vs Mael Lambung




KUALA LUMPUR, 17 NOVEMBER2011: Pelawak dan pengacara, Razizan Razak atau Zizan Razak, 27 akui watak yang dibawa dalam filem arahan, Ahmad Idham Ahmad Nazri yang berjudul Mael Lambung adalah satu penjenamaan baru bagi dirinya.

Sejak dikenali dengan karaktor Mael Lambung ketika menyertai pertandingan Maharaja Lawak, Zizan berkata dia patut mengembangkan lagi kisah watak tersebut.

"Semuanya kerana watak tersebut. Nyata ianya telah mendapat publisiti sangat meluas daripada peminat sehingga ke hari ini.

"Idea untuk mengembangkan watak Mael Lambung tercetus selepas melihat sambutan luar biasa peminat dalam Maharaja Lawak.

"Kebetulan pula, karakter Mael Lambung turut menarik minat pengarah Ahmad Idham untuk diangkat dalam sebuah filem.

"Dari situ kami mula berbincang dan mengembangkan watak itu menjadi sebuah kisah yang menarik,"katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Mael Lambung di Pusat Sains Negara, petang semalam.

Mengulas lebih lanjut , Zizan Razak yang juga naib juara program Raja Lawak musim pertama itu berkata, perwatakan dalam filem kali ini menuntutnya untuk menjadi lebih serius dan lasak.

"Watak yang saya bawakan dalam filem ini agak berbeza daripada karektor yang pernah saya bawa sebelum ini kerana saya akan menjadi lebih serius.

"Karektor saya memang serius, cuma situasinya sahaja akan membuatkan ianya jadi komedi dan boleh membuatkan penonton ketawa. Ini kerana Mael Lambung adalah seorang penarik kereta.

"Selain itu, saya juga jadi penat sepanjang penggambaran dijalankan kerana saya banyak melakukan aksi lagak ngeri dan pergaduhan sendiri untuk lebih realistik serta berkesan.

"Saya harap penonton dan peminat saya dapat menerimanya serta berpuas hati dengan filem dan lakonan saya kali ini," harapannya kepada filem terbitan Excelent Pictures tersebut.

Mael Lambung yang berkisarkan kehidupan seorang penarik kereta bernama Mael Lambung, telahpun menjalani penggambaran sekitar Pahang dan Kuala Lumpur bermula 25 Oktober lalu.

Catat Ulasan