Ahmad Idham Tak Sisihkan Johan Raja Lawak






KUALA LUMPUR, 18 NOVEMBER2011: Selepas filem Mael Lambung arahan Ahmad Idham Ahmad Nazri yang telah dilancarkan baru-baru ini, ramai pula yang menganggap hasrat pengarah tersebut untuk menerbitkan Mael Lambung Vs Acai sudah terkubur.
Sebaliknya Ahmad Idham memberitahu, bahawa akan ada beberapa perancangan untuk mengangkat watak Acai iaitu yang dipegang oleh Johan Raja Lawak menerusi program Maharaja Lawak itu kepada sebuah filem.
Katanya, semua perancangan masih di peringkat awal dan kata putus bersama Johan Raja Lawak atau Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz juga masih belum dibuat lagi.
"Bukannya saya mahu sisihkan Johan, tetapi saya sudah ada perancangan yang lebih besar untuk menaikkan watak Acai. Cuma saya mahu naikan watak Mael Lambung yang diperkenalkan Zizan Razak terlebih dahulu.
"Usah terkejut, jika nanti saya akan menerbitkan sebuah filem yang mengisahkan watak Acai terlebuh dahulu kemudian baru disusuli filem gabungan Mael Lambung Vs Acai.
"Lagipun saya belum berbincang lebih lanjut mengenai sebarang perancangan ini kepada Johan, kerana saya sendiri belum berpeluang bejumpa dan bercakap dengannya lagi.
"Dalam situasi ini, tiada siapa yang disisihkan atau rasa tersisih, kerana sebagai penerbit dan pengarah, hanya saya yang akan menawarkan watak dan memilih pelakon," katanya ketika ditemui dilokasi penggambaran filem Mael Lambung yang telah diadakan di Pusat Sains Negara, petang semalam.
Sebelum ini, timbul isu mengatakan Johan Raja Lawak kecewa kerana tidak dipanggil oleh pengarah dan penerbit Excelent Pictures itu untuk menjayakan filem Mael Lambung Vs Acai yang pernah direncanakannya ketika di program Maharaja Lawak.
Bercerita mengenai filem Mael Lambung, Ahmad Idham berkata, dia yakin dapat memberikan apa yang penonton dan peminat mahukan kerana filem tersebut terhasil daripada gabungan idea asal daripada Zizan sendiri.
"Dalam menjayakan filem ini, saya memberi kebebasan kepada Zizan untuk mengeluarkan ideanya dan dalam masa yang sama, saya dijadikan sebagai panduan penceritaannya supaya ianya menjadi menarik.
"Watak Mael Lambung adalah ciptaan Zizan sendiri, jadi saya bangga untuk memberitahu bahawa gabungan dan kerjasama kami mewujudkan synergy perniagaan dalam filem ini. Kami berdua akan mendapat faedah dan bahagian masing-masing," jelasnya lagi.
Selain Zizan Razak, filem Mael Lambung dibintangi oleh beberapa pelakon lain yang pernah beraksi menerusi filem Hantu Bonceng iaitu Julaina Evans dan Taiyuddin Bakar.
Tambah Ahmad Idham lagi, dia miliki alasan tersendiri mengapa memilih pelakon yang sama dari filem Hantu Bonceng yang berjaya menerima kutipan pecah panggung.
"Saya sengaja mengekalkan pelakon Hantu Bonceng kerana masing-masing sudah ada penjenamaan tersendiri. Saya senang bekerja dengan mereka untuk sekian kalinya.
"Lagipun Hantu Bonceng telah mencapai kejayaan yang luar biasa. Jadi kenapa tidak saya tampilkan mereka seklai lagi selepas ramai yang suka melihat kemunculan trio ini di dalam filem itu," tambahnya lagi.
Filem yang dijangka menelan belanja RM1.8 juta ini sedang menjalani penggambaran di sekitar Terengganu dan Kuala Lumpur sejak 25 Oktober lalu.


Catat Ulasan