HANGAT - Betulkah Forteen Ganti Tempat Anuar Zain?





KL, 18 NOV 2011: Murai Batu ada terdengar, pengakuan komposer lagu Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain iaitu Edry Abdul Halim yang menghadapi kesukaran untuk mencari pengganti penyanyi kacak itu menyanyikan lagu berkenaan pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 25 nanti.
Pun begitu, Murai Batu turut mendapat tahu pemilik vokal lagu Sedetik Lebih iaitu Anuar Zain sendiri telah mengakui bahawa ramai penyanyi tempatan boleh menggantikannya memandangkan industri muzik kita sudah mempunyai ramai penyanyi yang berbakat sertai mempunyai vokal yang mantap.
Betul juga tu? Siapakah agaknya? Adakah Bob, Sahri, Fazli Zainal, Faizal Tahir, Akim, Hafiz? Tolonglah senaraikan wahai Anuar Zain.
Bagaimanapun, Murai Batu tak ada pula mendengar cadangan dari Anuar Zain mengenai siapakah yang benar-benar layak untuk menyanyikan lagu tersebut nanti. Atas dasar itulah, Murai Batu diberitahu pihak KRU Studio sendiri masih belum mempunyai kata putus tentang pengganti penyanyi itu.
Sungguhpun malam ini separuh akhir Muzik-Muzik 25 akan bermula selama tiga minggu berturut-turut, namun masih belum kedengaran atau bayangan penyanyi yang akan menyanyikan lagu berkenaan.
Dek kerana itu jugalah, ada suara yang berpendapat mungkin pihak KRU Studio masih lagi dalam proses memujuk Anuar atau mungkin mereka mahu membuat kejutan pada malam pertandingan kelak.
Di sebalik mencari jawapan itu, Murai Batu difahamkan dari pihak terdekat pewaris lagu ini, kumpulan Forteen yang dianggotai empat jejaka tampan iaitu Ameer, Izzue Islam, Ariz dan One akan menyanyikan lagu ini pada hari pertandingan.
Perkhabaran ini diperoleh sebaik saja Forteen yang dikenal pasti sering saja membawa lagu ini tatkala mengadakan persembahan. Sungguhpun kepastian ini belum ada kesahihannya, Murai Batu rasa berkemungkinan besar perkara ini ada betulnya kerana Forteen sendiri adalah artis baru di bawah naungan KRU Studios.
Ya tak ya juga. Daripada susah memikirkan penyanyi luar, ada baiknya KRU Studios memberi peluang Forteen menunjukan taring sebenar kreadibiliti mereka sebagai penyanyi dalam mendendangkan lagu kegemaran ramai ini.
Kalau Murai Batu tak salah, ramai juga peminat teruja dan memuji persembahan Forteen dalam mendendangkan lagu Sedetik Lebih.
Apapun, jika perkara ini benar-benar berlaku, mungkin juga pertandingan lagu ini akan mengembalikan nostalgia kerana sebelum ini lagu solo nyanyian Ning Baizura berjudul Kau Dan Aku pernah dinyanyikan oleh kumpulan Kool sewaktu penganjuran Muzik-Muzik sekitar 1995.
Bagi Murai Batu, tidak kisahlah siapa yang akan menggantikan tempat Anuar. Apa yang penting, ikutlah kata nasihat dari Anuar sendiri iaitu janganlah mengharap penyanyi yang menggantikan tempatnya itu menyanyi persis sepertinya.

Catat Ulasan