BERITA - Bantuan Sekolah 'Usah potong bantuan RM100'

MUHYIDDIN melihat  ubat yang terdapat di dalam Klinik Bergerak Pergerakan Puteri UMNO selepas melancarkannya pada majlis Sepetang Timbalan Perdana Menteri bersama Belia Wilayah Persekutuan di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Zawiyah Zainuddin (tiga dari kanan).
MUHYIDDIN melihat ubat yang terdapat di dalam Klinik Bergerak Pergerakan Puteri UMNO selepas melancarkannya pada majlis Sepetang Timbalan Perdana Menteri bersama Belia Wilayah Persekutuan di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Zawiyah Zainuddin (tiga dari kanan).
Wang perlu disalur kepada pelajar atau ibu bapa dalam jumlah penuh: TPM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada semua sekolah supaya tidak membuat sebarang pemotongan terhadap bayaran bantuan RM100 yang diberikan kerajaan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.
Timbalan Perdana Menteri berkata wang yang diperuntukkan pada Bajet 2012 itu perlu disalurkan kepada pelajar atau ibu bapa pelajar dalam jumlah yang penuh tanpa sebarang pemotongan.
“Saya nak nyatakan, ia seharusnya dilakukan. Nanti akan timbul salah faham sedangkan ia bukan kita (kementerian) yang lakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sepetang Bersama Generasi Muda anjuran Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Pada sesi dialog sebelum itu, seorang bapa yang anaknya belajar di sebuah sekolah di Setiawangsa di sini menyatakan kekesalan dan mendakwa anaknya hanya menerima RM50 atau separuh daripada wang bantuan, manakala sebahagian lagi dipotong untuk tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Sebanyak RM550 juta diperuntukkan kerajaan pada Bajet 2012 bagi bantuan kepada semua pelajar rendah dan menengah termasuk sekolah swasta. 
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pentadbir sekolah yang membuat pemotongan.

“Sekalipun pihak sekolah mahu membuat potongan, mereka perlu berbincang dengan PIBG dan wang RM100 itu perlu diserahkan semuanya tanpa sebarang potongan.

“Ini baru hujung tahun, belum lagi masuk awal tahun, saya harap sekolah yang terbabit menyerahkan semula wang yang sudah dipotong dan tidak ada lagi sekolah yang berbuat demikian,” katanya.

Beliau menegaskan, pembayaran bantuan itu adalah komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban hidup rakyat dan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

Terdahulu, Muhyiddin mengadakan pertemuan tertutup pada program Perhimpunan Pergerakan Rangkaian Aktiviti Penyatuan Insan Peringkat Kebangsaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) Melayu anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Pusat Komuniti Taman Ibu Kota di sini kira-kira dua jam.

Beliau kemudian menunaikan solat Zuhur berjemaah di Madrasah Islamiyah Taman Ibu Kota sebelum berangkat ke Setiawangsa.

Di PUTRAJAYA, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, berkata ibu bapa yang mempunyai kesulitan untuk menuntut wang bantuan persekolahan RM100 minggu ini masih dibenarkan mendapatkannya selepas tempoh itu.

Sambil menolak dakwaan kononnya wang itu akan dipulangkan kepada kerajaan jika ia tidak dituntut dalam minggu ini, beliau berkata, bantuan berkenaan akan tetap dikeluarkan pada masa lain termasuk ketika cuti sekolah, kerana ia adalah hak pelajar.

“Jika ibu bapa tak dapat tuntut minggu ini, mereka boleh tuntut daripada pihak sekolah selepas itu,” katanya meminta mana-mana pihak yang tidak mahu menerima bantuan itu pula memaklumkan kepada sekolah untuk memulangkannya. 

Catat Ulasan