BERITA - TOL Tak Jadi NAIK

pix_gal0
  • PLUS, ELITE, Linkedua, KLBK, kekal kadar hingga 2015
  • Tol jambatan Pulau Pinang tidak berubah sehingga 2038
KUALA LUMPUR: Kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Lingkaran Tengah (ELITE), Lintasan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (KLBK) kendalian Plus Expressways Bhd, tidak akan dinaikkan sehingga 2015.
Kadar tol Jambatan Pulau Pinang yang dikendalikan Penang Bridge Sdn Bhd pula dikekalkan sehingga penghujung tempoh konsesi 2038.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif Kumpulan UEM, Datuk Izzaddin Idris, berkata bermula 2016, kadar tol empat lebuh raya Plus Expressways Bhd itu hanya dinaikkan lima peratus setiap tiga tahun, sehingga penghujung tempoh konsesi, 31 Disember 2038 berbanding 10 peratus mengikut konsesi lama.

Berikutan persetujuan semakan semula syarat perjanjian konsesi tol terbaru itu, kerajaan akan memperoleh penjimatan sehingga RM6.5 bilion kerana tidak perlu membayar pampasan kepada Plus Expressways.

Mengikut perjanjian konsesi tol lama, kerajaan perlu membayar pampasan tertunggak berjumlah RM2.9 bilion dan pampasan pembekuan kenaikan tol selama lima tahun berjumlah kira-kira RM3.6 bilion kepada Plus Expressways. 
Persetujuan semakan semula syarat perjanjian konsesi tol itu dimeterai antara kerajaan dengan UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minggu lalu dan semakan itu dilaksanakan susulan cadangan pembelian aset dan liabiliti Plus Expressways dan Penang Bridge Sdn Bhd.

Izzadin menyifatkan persetujuan terbaru itu adil kepada kerajaan, pengguna Lebuh Raya Plus Expressways dan jambatan Pulau Pinang.

Katanya, dengan perjanjian itu, empat matlamat berjaya dicapai iaitu meminimumkan kenaikan kadar tol dan mencapai satu struktur tol yang munasabah; mengurangkan beban kerajaan dalam pampasan tol; memastikan kepentingan pemberi pinjaman terpelihara dan mengelakkan sebarang kesan terhadap pasaran modal hutang; serta memastikan pampasan yang adil kepada pemegang kepentingan ekuiti.

Beliau berkata, berdasarkan persetujuan itu juga, tempoh konsesi PLUS dan Linkedua tidak akan dilanjutkan dan tamat seperti dijadualkan, pada 31 Disember 2038.

“Manakala tempoh konsesi ELITE, KLBK dan Jambatan Pulau Pinang, iaitu masing-masing yang akan tamat pada 2030, 2026 dan 2021, akan diselaraskan dengan PLUS dan Linkedua,” katanya.

Izzaddin berkata, kenaikan kadar tol selepas 2015, iaitu pada lima peratus setiap tiga tahun adalah bersamaan dengan 1.7 peratus setahun.

Katanya, kadar kenaikan itu adalah di bawah kadar purata inflasi negara bagi tempoh tiga tahun iaitu 2.6 peratus setahun.

Sebagai contoh, kadar tol perjalanan dari Jalan Duta ke Ipoh Selatan ketika ini ialah RM26.50. Berdasarkan kiraan kenaikan lima peratus bermula 2016, kenaikan kadar tol untuk perjalanan berkenaan hanya meningkat RM1.30 kepada RM27.80 berbanding mengikut konsesi lama iaitu jika peningkatan 10 peratus, kenaikannya ialah sebanyak RM2.60 kepada RM29.10. 

“Kami mengekalkan PLUS sebagai aset utama negara yang juga tunjang infrastruktur jalan raya di Semenanjung Malaysia.

“Hasil kutipan daripada kadar tol yang sederhana ini (selepas 2015) akan membolehkan kami mengekalkan taraf jalan raya dan perkhidmatan dengan lebih baik,”

katanya sambil menambah kos penyelenggaraan lebuh raya membabitkan RM800 juta setahun.

Catat Ulasan