[HARIAN METRO 13 NOV] - Usah taksub tarikh ‘cantik’

KUALA LUMPUR: “Terlalu taksub dengan nombor dan tarikh tertentu serta terikut-ikut budaya kaum lain yang sememangnya percaya dengan kelebihan setiap nombor dikhuatiri boleh mendatangkan unsur khurafat,” kata Pakar Motivasi, Profesor Izzi Ali.
Katanya, masalah itu semakin membimbangkan kerana dalam Islam, tarikh atau nombor tertentu tiada sebarang makna dan tidak pernah tertulis dalam al-Quran atau sunnah Nabi.

“Berkahwin atau melahirkan anak pada tarikh yang ‘cantik’ seperti 11 November 2011, 12 November 2012 bukan jaminan kepada prestasi seseorang. “Biar seperti mana ditentukan Allah, bukannya mengikut budaya kaum tertentu yang percaya ada tuah di sebalik tarikh yang dipilih. “Tidak guna memilih tarikh yang cantik untuk berkahwin jika perkahwinan itu sendiri tidak seindah diimpikan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai trend terkini pasangan yang memilih untuk berkahwin dan melahirkan anak pada tarikh unik seperti 11 November 2011 (11.11.11).
Izzi berkata, situasi terlalu memaksa pasangan untuk berkahwin atau melahirkan anak pada tarikh cantik mungkin mendatangkan risiko kepada pasangan itu sendiri kerana kurang bersedia atau memberi kesan kepada anak yang bakal dilahirkan.
Katanya, selain memilih tarikh unik, umat Islam di negara ini juga sanggup berhabis duit membeli nombor pendaftaran harga mahal kerana percaya ada tuah di sebaliknya.
Harian Metro

Catat Ulasan