HOT - ‘Anje’ belum sedia bercinta!!

FOKUS...Yana akan muncul lima filem baru pada tahun depan.
FOKUS...Yana akan muncul lima filem baru pada tahun depan.
PERJALANAN seni yang ditempuh Norliana Samsudin atau lebih mesra dipanggil Yana, 27, mungkin berbeza dengan artis lain. Bermula sebagai penya�nyi, Yana mencuba pula dalam bidang lakonan dan waktu sama diberi kepercayaan duduk di kerusi pengarah, satu pencapaian besar buat pelakon.
Selepas lapan tahun pembabitannya dalam bidang seni, kehadiran Yana jarang diberi perhatian walaupun banyak filem yang dibintangi. Bermula sebagai pelakon tambahan, kesungguhan Yana membuahkan hasil apabila kini menjadi antara pelakon kesayangan produser David Teo dan diberi kepercayaan sebagai teraju utama.

Gadis kelahiran Yong Peng, Johor pada 25 September 1984 ini mula diberi peluang memegang watak utama menerusi filem Aku Masih Dara arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang ditayangkan pada 16 Disember tahun lalu.

Sejak itu, satu demi satu tawaran membintangi filem terbitan Metrowealth Pictures (MIG) dengan watak utama diberi kepada Yana. Filem Bini-Biniku Gangster (BBG) menyerlahkan lagi nama Yana apabila digandingkan dengan Intan Ladyana dan Shaheizy Sam. Kini beberapa filem lakonannya menanti tayangan seperti 8 Jam, 3 Temujanji, Adnan Semp-it 2 dan Minyak Dagu.  

Tidak cukup dengan lakonan, Yana juga dipilih berada dalam senarai Skim 10 Pengarah Muda yang diperkenalkan MIG untuk mencungkil bakat muda apabila diberi peluang mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta.

Ada mengatakan, sambutan terhadap filem pertamanya itu kurang memberangsangkan menyebabkan peluang kedua tidak berpihak kepadanya berbeza dengan pelakon lain yang turut diberi peluang sama seperti Farid Kamil dan Pierre Andre.

Apapun anggapan orang, Yana mengakui dirinya sangat bertuah kerana diberi peluang bekerja di belakang tabir. Katanya, peluang itu memberi pengalaman menarik pada dirinya supaya lebih teliti terhadap proses pembikinan sesebuah filem.

Dalam berkongsi pandangan sendiri di lokasi penggambaran, dia juga masih mengharapkan tunjuk ajar orang lain dan kerjasama kru produksi dalam memastikan sesuatu projek itu berjaya dilaksanakan.

“Sepatutnya saya kembali mengarah filem baru pada tahun lalu tetapi perancangan ini tidak menjadi kerana saya sibuk dengan komitmen berlakon. Saya juga dijadualkan mula mengarah filem kedua akhir tahun ini tetapi sekali lagi ditunda kerana sibuk dengan komitmen lakonan.

“Sejak tahun lalu hingga sepanjang tahun ini, memang saya sibuk dengan komitmen sebagai pelakon. Ketika ini, saya mempunyai lima filem baru yang menanti tayangan iaitu Adnan Semp-it 2; Aku Ada Kau Ada; 8 Jam; 3 Temujanji dan Minyak Dagu.

“Selepas dua tahun berlalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya kembali mengarah pada tahun depan,” katanya ketika ditemui pada acara Jelajah Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

Walaupun sibuk dengan lakonan fokus pada kerja belakang tabir tetap diberi perhatian. Yana meraih pengalaman pembantu pengarah menerusi filem Syurga Cinta dan V3: Samseng Jalanan. Melebarkan pengalaman seni, dia juga bertindak sebagai penulis skrip filem BBG yang berjaya mencatat kutipan RM4.71 juta.

Di sebalik kejayaan BBG diminati ramai penonton, Yana mengakui tarikan filem itu didukung hero yang menjadi pelakon utamanya, Shaheizy Sam. Dalam BBG, Yana bergandingan bersama Sam dan Intan Ladyana sebagai teraju.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM23 ini menyatakan, dia selesa berlakon bersama Sam yang kini menjadi pelakon paling popular memberi tarikan, Yana kembali bergandingan bersama Sam menerusi Adnan Semp-it 2; Aku Ada, Kau Ada dan 8 Jam.

“Saya tidak bosan berlakon dengan Sam kerana setiap karakter yang kami bawa berbeza. Dalam 8 Jam, kami tampil sebagai pasangan kekasih manakala filem konsep muzikal, Aku Ada, Kau Ada, memberi tarikan baru apabila saya dan dia turut menyanyi bersama.

“Bagi saya, bekerjasama dengan Sam tidak memberi masalah kerana dia seorang yang mudah mendalami karakter dan profesional dalam bekerja,” katanya.

Yana juga gembira kerana respons yang diterima terhadap lakonannya dan Sam dalam BBG cukup positif. Menariknya, gelaran ‘anje’ yang digunakan Sam pada Yana meninggalkan ingatan kuat pada penonton.

Melihat pada pencapaian�nya ketika ini, Yana mampu tersenyum bangga atas peluang membawakan watak utama yang diberikan produser. Dia sendiri tidak terkilan melihat kariernya untuk menduduki puncak di kalangan artis popular lambat berbanding rakan seangkatannya, Farid Kamil dan Pierre Andre.

“Mungkin pada masa itu tidak kena tetapi saya anggap bukan rezeki untuk terima tawaran watak utama. Ketika mula berlakon, saya masih belajar dan mungkin jika asyik berlakon, pelajaran terganggu.

“Dalam memberikan komitmen pada kerjaya lakon, saya tidak terlalu memilih antara filem atau drama. Saya beranggapan ia bergantung pada permintaan.

“Pada pandangan penonton, saya lebih popular di layar perak sebaliknya drama turut membantu dalam meluaskan kerjaya seni saya,” katanya yang mengidamkan watak superhero.

Dalam sibuk berlakon, Yana mengakui lebih selesa memberi sepenuh perhatian pada komitmen kerja berbanding soal cinta. Di sebalik senyuman manjanya, Yana tidak menolak andai perasaan cinta kembali mengusik jiwanya.

“Ada ketika perasaan itu wujud tetapi apabila memikirkan komitmen pada kerja, saya rasakan ia sukar untuk kembali bercinta. Begitu juga, apa yang saya bimbangkan perasaan itu hanya wujud di satu pihak.

“Buat masa ini, saya belum lagi bersedia berikan komitmen pada cinta. Tahun depan, saya akan muncul dengan lima filem baru dan ini memerlukan sepenuh perhatian untuk saya jayakannya,” katanya.



PROFIL:

NAMA SEBENAR: Norliana Samsudin
PANGGILAN: Yana
TARIKH LAHIR: 25 September 1984
UMUR: 27 tahun
ASAL: Yong Peng, Johor
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Seni Layar, UiTM Shah Alam
STATUS: Bujang
KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan pengarah

FILEM: 7 Perhentian, Mami Jarum Junior, Main-Main Cinta, Histeria, Shh... Dia Datang, Adnan Sempit, Aku Masih Dara, Kongsi dan Bini-Biniku Gangster

DRAMA: E-toyol.com, Bionik, Lu’Lu, Siti Kelembai, 3 Janda dan Suri Bakawali
ALBUM: Yana Ceria (2004)
ARAHAN: Selamat Pagi Cinta

PENCAPAIAN: Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-23 (Adnan Sempit)

sumber ; mymetro.com


Catat Ulasan