Info Terkini - Utusan Malaysia - 25 cedera bas terbalik masuk parit



Sebuah bas dari arah Taiping ke Johor Bahru terbalik di Kilometer 19 Jalan Ayer Hitam, Johor, semalam.


JOHOR BAHRU 7 Nov. - Seramai 25 penumpang sebuah bas ekspres menempuh detik-detik cemas apabila kenderaan itu terbabas dan terbalik di Kilometer 19 Jalan Ayer Hitam menghala ke Johor Bahru, dekat sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, bas itu yang dalam perjalanan dari Taiping, Perak, dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terjunam ke dalam parit.
Penumpang, D. Kanageswaran, 30, berkata, kejadian itu berlaku pantas dan dia hanya sempat melihat bas tersebut melanggar pembahagi jalan tidak lama selepas keluar dari persimpangan tol Kulaijaya.
"Selepas itu saya terus bangun dan pecahkan cermin hadapan bas untuk mengeluarkan ibu saya (P. Saraswati, 61) dan isteri (P. Kogilawani,30)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Seorang lagi penumpang, S. Parvathi, 26, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira dua minit selepas dia menghubungi adiknya untuk menjemputnya di Hentian Bas Taman Tun Aminah, di sini.
Katanya, akibat daripada kemalangan itu dia terperangkap di dalam lumpur sebelum diselamatkan seorang lelaki yang tidak dikenali.
"Ketika kejadian sebahagian daripada badan saya terkeluar daripada bas. Kepala saya pula terhentak ke bahagian cermin," katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Supritendan Mohd. Akhir Ishak berkata, siasatan awal pihaknya percaya pemandu bas berusia 45 tahun itu hilang kawalan semasa tiba di lokasi kejadian.
Katanya, pemandu itu ditahan untuk diambil keterangan dan berdasarkan siasatan, pemandu tersebut tidak memiliki rekod lampau kesalahan jalan raya.
"Tiga daripada penumpang bas berkenaan mengalami kecederaan serius manakala bakinya hanya mengalami kecederaan ringan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Catat Ulasan