Info Terkini - Utusan Malaysia - Gol lewat Messi selamatkan Barca


Cristiano Ronaldo meraikan kejayaan meledak hatrik ketika membantu Real Madrid membelasah Osasuna 7-1 di Santiago Bernabeu, Madrid, semalam. - AFP


MADRID - Lionel Messi menyelamatkan Barcelona daripada mengalami kekalahan mengejut selepas meledakkan gol lewat permainan untuk mencatat keputusan seri 2-2 di Athletic Bilbao dalam saingan Liga Sepanyol, semalam.
Keciciran mata yang dialami juara bertahan itu memberi peluang kepada musuh tradisi, Real Madrid untuk melebarkan jurang sebagai pendahulu La Liga kepada tiga mata selepas garang membelasah Osasuna 7-1 di Santiago Bernabeu, berterima kasih kepada hatrik bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.
Di Bilbao, Ander Herrera meletakkan tuan rumah Athletic di depan pada minit ke-20, namun Barca hanya memerlukan empat minit kemudian untuk menyamakan kedudukan menerusi bintang tengah, Cesc Fabregas.
Selepas Fernando Llorente menyumbat gol tuan rumah ketika permainan berbaki 10 minit, Barcelona seperti sudah bersedia untuk mengalami kekalahan pertamanya musim ini.
Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan dengan pemain terbaik dunia, Messi menghukum kealpaan benteng pertahanan lawan untuk menjaringkan gol ke-14 peribadi dalam saingan liga dan mencuri satu mata berharga untuk pasukannya.
Terdahulu, Real Madrid menempuh laluan lebih mudah apabila Cristiano Ronaldo meledak hatrik ke-12 untuk dirinya sejak menyertai Real dan memusnahkan Osasuna yang sebelum ini pernah diaibkan Barcelona 8-0, pertengahan September lalu.
Ini bermakna Real kini memiliki 28 mata untuk meninggalkan Barcelona dengan 25 mata, manakala Valencia mengekori di tangga ketiga menerusi 24 mata.
Meskipun tercicir mata, jurulatih Barca, Pep Guardiola tidak terlalu kecewa sebaliknya memuji kesungguhan Athletic.
"Kami tidak pernah bermain dengan sebuah pasukan yang begitu bertenaga, ia satu perlawanan menarik di mana semua 22 pemain di atas padang memberikan segala-galanya," ujarnya.
Kemenangan besar Real ke atas Osasuna menggenapkan angka 10 kemenangan berturut-turut dengan Gonzalo Higuain, Pepe, Karim Benzema (dua) turut menemui jaring untuk ditambah kepada hatrik Ronaldo.
"Kami layak meraih 10 kemenangan ini. Kami tidak memenanginya dengan tuah, kami berhempas pulas untuk mencapainya tetapi kami bermain sama ada bagus atau sangat bagus dalam kesemua perlawanan berkenaan," katanya. - AFP

Sumber - Utusan Malaysia

Catat Ulasan