Proton Exora REEV 2011 rangkul anugerah

LONDON: “Saya tidak sangka menang kerana ketika perlumbaan, kenderaan kami mengalami kerosakan menyebabkan perjalanan tertangguh 10 minit,” kata Rozadatul Intan Safrina Che Rus, 30, selepas Proton Exora REEV dikemudi bersama pemandu, Pavol Biro, memenangi dua anugerah pada acara Future Car Challenge 2011 di Royal Automobile Club (FCCBTL), Pall Mall, di sini, kelmarin.
Kenderaan elektrik penambah jarak Proton Exora REEV dinaiki mereka merangkul anugerah Kenderaan Pelbagai Guna Cekap Tenaga Prototaip selain berkongsi kejuaraan kategori Kenderaan Elektrik Penambah Jarak/Hibrid Plug In Terbaik Keseluruhan bersama Toyota Prius PHFV selepas menamatkan perlumbaan sejauh 92 kilometer dari Brighton ke Pall Mall, di sini, dalam masa yang ditetapkan dengan mencatatkan penggunaan tenaga paling minimum.




Bagaimanapun, Rozadatul dan Pavol berdepan detik mencemaskan apabila sistem dalaman Proton Exora REEV terbabit gagal berfungsi tidak sampai satu kilometer sebelum garisan penamat di Pall Mall.
“Ketika itu saya kecewa kerana tidak menyangka kejadian seumpama boleh berlaku sedangkan kami sudah bekerja keras menyiapkan kenderaan bagi menghadapi perlumbaan.
“Bagaimanapun, masalah itu dapat diatasi 10 minit kemudian dan kami meneruskan perjalanan serta berjaya menamatkan cabaran dalam tempoh ditetapkan.
“Saya bersyukur kerana kami memenangi dua anugerah itu dan ia adalah pencapaian hebat buat Proton.
“Kemenangan ini juga membuktikan kerjasama Proton dengan syarikat Britain, Frazer-Nash Research Limited dalam membangunkan kenderaan berteknologi elektrik membuahkan hasil,” katanya yang bertugas sebagai jurutera perisian di Jabatan Teknologi Hijau Proton.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menganggap kejayaan merangkul dua anugerah itu sebagai pencapaian gemilang buat syarikat berkenaan.
“Menerusi kejayaan ini, kami menjadi lebih berazam dan komited dalam komitmen kami untuk menjadi lebih baik dan dalam usaha kami untuk kekal relevan di landskap industri automotif global yang sentiasa berubah,” katanya.
Proton turut mempertaruhkan Proton Persona Elegance REEV dan kenderaan elektrik Proton Saga EV dalam cabaran berkenaan dengan kedua-duanya berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa ditetapkan iaitu antara dua jam 45 minit hingga tiga jam 30 minit.
Bagaimanapun, keputusan perlumbaan membabitkan Proton Persona Elegance REEV akan diketahui selewat-lewatnya hari ini berikutan masalah teknikal berkaitan data.
Harian Metro

Catat Ulasan