Ahmad Idham : Pelakon Malaysia Kurang Kualiti


Ahmad Idham
Penerbit dan pengarah filem Ahmad Idham menyifatkan kekurangan pelakon yang berkualiti di negara ini membuatkan dia kerap menggunakan khidmat pelakon yang sama setiap kali menerbitkan sesebuah filem.
Idham atau nama sebenarnya Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, walaupun industri lakonan tempatan dipenuhi dengan lambakan pelakon-pelakon baru, namun daripada segi kualiti lakonan, ia masih lagi kurang memberangsangkan.
"Untuk memilih barisan pelakon ke layar perak, ia bukannya mudah dan sebagai seorang penerbit dan pengarah, saya perlu mencari pelakon yang berkualiti dan pada masa sama mempunyai nilai-nilai komersial. Sebab itu saya kerap menggunakan khidmat pelakon yang sama dalam filem-filem saya. Cuba beritahu nama pelakon-pelakon yang mempunyai ciri-ciri itu, tidak ramai bukan?" katanya yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Mael Lambong di sini, malam Selasa.

Barisan pelakon filem Mael Lambong iaitu dari kiri, Shenthy Feliziana, Zizan Razak, Juliana Evans dan Taiyuddin.
Tambah Idham, pemilihan pelakon yang sering bekerjasama dengannya membuatkan ia lebih mudah ketika menjalani penggambaran kerana masing-masing tahu akan peranan yang diberi.
Antara pelakon-pelakon yang sering bekerjasama dengannya ialah Zizan Razak, Taiyuddin Bakar (Tai), Kamal Adli, Juliana Evans dan Shaheizy Sam.
Sementara itu, bagi filem terbarunya yang akan ditayangkan pada Khamis (esok), dia bersyukur kerana lakonan barisan pelakonnya iaitu Zizan, Tai dan Juliana cukup berkesan dan bersahaja.
"Dalam filem yang ditonjolkan kali ini, saya ubah sedikit konsep komedinya di mana saya terapkan watak Zizan sebagai Mael Lambong iaitu orang yang serius. Dan nampaknya, ia berjaya apabila melihat respons penonton yang terdiri daripada pihak media terhibur dengan lakonan Zizan. Begitu juga dengan Tai, saya ubahkan wataknya sebagai Tiger menjadi lelaki yang sedikit menjengkelkan" tuturnya.
Dalam pada itu, Idham turut menyelitkan unsur-unsur isu semasa dalam plot cerita filem itu sebagai mengikut peredaran zaman.
Beritahu pengarah ini, dia berharap filem Mael Lambong mendapat sambutan daripada penonton memandangkan ia antara filem komedi terbaik yang pernah dihasilkannya.
Mael Lambong mengisahkan tentang Mail Lambong (Zizan), seorang penarik kereta profesional terjebak dengan sebuah komplot apabila bertemu dengan Maria (Juliana Evans) secara tidak sengaja.
Sementara itu, antara pelakon-pelakon lain yang membintangi filem tersebut ialah Shenty Feziliana, Shuib (Sepah) dan Sabri Yunus.

Catat Ulasan