Khalwat : Kes Tangguh, Beego Lari Daripada Wartawan

 

Wajah terbaru Beego
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Selasa menangguhkan kes perbicaraan pelakon Beego bersama dua rakan lelakinya kepada 18 Julai depan.
Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh itu bagi memberi peluang kepada peguam Beego yang baru dilantik iaitu Fakhrul Azman Abu Hasan untuk mengemukakan representasi dan mendapatkan dokumen berkaitan dengan kes tersebut.
"Memandangkan Fakhrul baru dilantik sementara pendakwa syarie tiada bantahan untuk menangguhkan kes, maka permohonan itu diluluskan bagi memberi peluang kepada Fakhrul membuat representasi," kata Shaiful.
Pada 8 Mei lalu, Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah,32, bersama Fikry Zainon dan Mohd Arsli Meor Atan Ahmad mengaku tidak bersalah atas pertuduhan khalwat yang dikenakan tersebut di hadapan Shaiful.
Sementara itu dua wanita yang merupakan kenalan mereka iaitu Azlina Yazit @ Aziz dan Hadijah Mohamad Mokhar mengaku bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar denda.
Kedua-dua mereka bagaimanapun membayar denda.
Fakhrul Azman Abu Hasan.
Mengikut fakta kes, kelima-lima tertuduh ditahan sekumpulan Pegawai Penguatkuasa Agama pada 23 Februari 2011 kira-kira pukul 6 pagi di sebuah rumah di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang dekat sini.
Kesemua mereka masing-masing didakwa di bawah Seksyen 29 (1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana berkhalwat yang boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Kelima-lima tertuduh hadir selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir sebutan kes berkenaan pada 10 April lalu.
Beego yang merupakan seorang duda pernah berkahwin dengan Intan Shariza Mohd Shahru,31, tetapi berpisah pada 16 Mac 2009 selepas dua tahun menjadi suami isteri.
Sementara itu usaha pihak media untuk mendapatkan Beego di luar mahkamah tidak berjaya apabila pelakon itu melarikan diri ketika wartawan ingin menemuinya.
Beego juga turut melarang jurugambar merakam gambar-gambarnya di luar mahkamah.
Tindakan itu dipercayai kerana kebimbangannya jika ditanya berhubung kaitan hubungannya dengan aktres Rozita Che Wan yang heboh diperkatakan sejak minggu lalu.

Catat Ulasan