Awas! Sindiket Calar Kereta Di Kuala Lumpur

Assalamualaikum. Aku memang setuju yang banyak kes calar kereta di Kuala Lumpur akibat kita tidak mahu memberi wang kepada pengendali parkir haram. Serba salah dibuatnya, kalau tak bayar, depa calarkan atau pancitkan tayar kita atau buat perkara “dajjal” lain yang kita tak tahu. Yang peliknya, apa pihak DBKL buat untuk menyelesaikan masalah ni. Tampak macam mereka bekerjasama je. Betul ke? Entah la, malas aku nak buat andaian, tapi yang pasti tak sanggup aku korbankan demi RM10-RM15 yang dipinta oleh pengendali parkir haram. Apa pula pendapat korang? Perincian isu parkir haram yang bahaya dan belaku di kawasan warga tempatan Kuala Lumpur ni ada di bawah. P/S: Kalau kita sampai di masjid dengan berkenderaan, kita wajib berusaha berbuat sesuatu untuk kenderaan kita tidak dicuri, selepas tu barulah kita tawakal kepada Allah, bukan hanya tawakal tanpa berbuat apa-apa. Kisah seperti ini sudah jelas ditunjukkan dalam satu kisah sahabat Nabi dengan untanya di masjid. Nabi SAW menyuruh orang Badwi tersebut supaya mengikat untanya sebelum masuk ke masjid.
Penyedia menggunakan payung dan meja kecil sebagai kaunter pembayaran parkir haram.
 

Seorang lelaki mengambil wang caj parkir daripada orang ramai.
KUALA LUMPUR: Ia bukan masalah baru, namun kewujudan tempat letak kenderaan yang beroperasi tanpa lesen atau lebih dikenali parkir haram tumbuh bagai cendawan selepas hujan terutama di kawasan yang menjadi tumpuan ramai di sekitar ibu kota.
Awalnya kewujudan parkir haram terbabit mungkin memberi pilihan kepada orang ramai untuk membayar kadar parkir lebih murah berbanding tapak dalam bangunan, tetapi lama kelamaan ia mengundang banyak masalah.
Ini berlaku apabila penyedia parkir haram itu ‘memaksa’ pengguna membayar kepada mereka biarpun perkhidmatan terbabit tidak sah daripada segi undang-undang.
Situasi ini diakui pekerja swasta, Hafes Ramli, 27, terutama menjelang musim perayaan apabila permintaan meningkat mendadak walaupun pada lewat malam.
“Kewujudan parkir haram ini membebankan orang ramai kerana caj yang dikenakan tidak menentu, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.
“Caj sehingga RM15 sekali masuk dikenakan kepada orang ramai yang tiada pilihan kerana ketiadaan parkir,” katanya kepada Metroplus, baru-baru ini.
Malah, ada juga yang mengambil kesempatan dengan menjadikan kawasan pembahagi jalan sebagai tempat parkir dan mengenakan caj kepada orang ramai.
Namun, apabila pihak berkuasa seperti polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang, mereka berlagak seperti orang biasa dan membiarkan kenderaan itu disaman.
“Orang ramai tahu khidmat parkir tidak sah dan pengendalinya tidak berhak mengambil bayaran, tetapi pengguna tiada pilihan. Jika tidak membayar wang dikenakan, orang ramai bimbang sesuatu berlaku pada kenderaan seperti dicalarkan atau tayar dipancit.
“Keadaan ini pastinya menggalakkan lebih ramai individu yang akan mengambil kesempatan ke atas orang ramai melalui parkir haram,” katanya.
Selain itu, kedudukan parkir haram tidak strategik kerana biasanya mereka menggunakan kawasan lapang yang sangat hampir dengan jalan raya.
Hayati Mohd Saad, 37, berkata lokasi parkir haram di tepi jalan itu sering menjadi pilihan ramai kerana dianggap memudahkan mereka untuk meletakkan kenderaan.
“Tetapi ia menghalang kelancaran lalu lintas. Lebih-lebih lagi tindakan beberapa penjaga parkir yang sanggup menghentikan kenderaan lain bagi memberi laluan kenderaan yang hendak masuk atau keluar dari parkir haram berkenaan.
“Jika benar mereka mempunyai lesen sah, kenapa pihak berkuasa membenarkan kawasan itu dijadikan parkir sedangkan aktiviti yang dijalankan boleh menyebabkan kesesakan jalan dan menyusahkan orang lain,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa dan orang ramai perlu bekerjasama bagi mengekang masalah parkir haram dari terus berleluasa.
Bagi Abd Rahmat Yahya, 28, kekurangan tempat parkir sah di satu-satu kawasan khususnya yang menjadi tumpuan ramai menyebabkannya terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan parkir haram.
“Di mana saya hendak letak kenderaan jika semua tempat penuh. Jika ada sekali pun, kadar caj yang dikenakan terlalu mahal. Saya pernah membayar RM12 di kawasan terbuka berhampiran Menara DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) walaupun meletak kenderaan tidak sampai tiga jam.
“Lagipun saya tidak tahu satu-satu kawasan parkir itu haram atau tidak, kerana tidak pernah didedahkan dengan ciri-ciri parkir yang beroperasi secara sah,” katanya.
Sementara itu, jurucakap DBKL ketika dihubungi berkata, kemudahan tempat letak kereta disediakan untuk setiap bangunan di Kuala Lumpur kerana semua pemaju disyaratkan membuat kemudahan parkir berkadaran sama ada di dalam atau di luar bangunan.
“DBKL berperanan mengeluarkan lesen parkir kepada operator berkenaan dan setakat ini 21 operator pengendalian parkir di tempat terbuka yang mendapat lesen secara sah. Selain DBKL, pihak swasta juga terbabit dalam penyediaan tempat parkir untuk kegunaan pelanggan masing-masing.
“Bagi kawasan tempat terbuka, semua operasi parkir yang dibenarkan DBKL mempunyai ciri-ciri tertentu. Misalnya, semua parkir sah akan mempunyai pondok operasi serta mempunyai mesin untuk mencetak tiket parkir,” katanya.
Katanya, DBKL mempunyai perancangan untuk menyediakan kemudahan parkir bertingkat di luar pusat bandar khususnya di kawasan berhampiran yang terdapatnya pengangkutan awam seperti bas dan sistem Transit Aliran Ringan (LRT).
“Ia bertujuan menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan awam untuk ke pusat bandar, sekali gus mengurangkan jumlah kenderaan. Ia juga dilihat dapat mengatasi masalah kekurangan permintaan ke atas penggunaan tempat parkir di pusat bandar,” katanya.

Catat Ulasan