Amaran Banjir Di Terengganu dan Kelantan

Amaran Banjir di Terengganu dan Kelantan
KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) hari ini mengeluarkan amaran peringkat kuning mengenai hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana di Terengganu dan Kelantan.
JMM melalui satu kenyataan media memberitahu, hujan lebat yang dijangka turun dari Jumaat hingga Sabtu ini pula boleh menyebabkan kawasan rendah di Terengganu dan Kelantan berisiko mengalami banjir.
“Kawasan yang terlibat di Terengganu melibatkan daerah Besut, Setiu dan Kuala Terengganu manakala di Kelantan ialah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang dan Pasir Mas,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, JMM turut turut mengeluarkan amaran angin kencang dengan kelajuan 60 kilometer (km) sejam dan laut bergelora kategori ketiga dengan ombak setinggi 5.5 meter bagi kawasan perairan Pahang, Johor timur, Sarawak, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North, Reef South dan Layang-Layang.
Menurut kenyataan itu, keadaan yang dijangka berterusan hingga Selasa berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
Selain itu, JMM turut memberi amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua dengan kelajuan 50-60km sejam dan ombak setinggi 4.5 meter juga dikeluarkan bagi perairan Kelantan, Terengganu, Labuan dan dan kawasan pedalaman, pantai barat dan Kudat di Sabah serta di Samui dan Palawan.
Jelas kenyataan itu, keadaan itu juga berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Catat Ulasan