Bekas Tentera Cabul Kakak Ipar Dipenjara

BUKIT MERTAJAM  – Akibat gagal  mengawal hawa nafsu, seorang bekas tentera  hari ini dihukum penjara 14 hari dan denda  RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini  selepas mengaku bersalah mencabul kakak  iparnya pada 19 Jun lalu.
Majistret Chiang Kian Hong turut memerintahkan  hukuman penjara terhadap Salehudin Md. Yusof,  31, yang kini bekerja sebagai penoreh getah,  ditambah enam bulan lagi sekiranya gagal  membayar denda.
Salehudin yang memakai baju-T berjalur oren putih  dan berseluar jean mengaku mencabul  kehormatan kakak iparnya yang berusia 32 tahun  di sebuah rumah di Bukit Indera Muda dekat  Kubang Semang, di sini.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut  Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang  memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun  atau denda atau sebatan atau mana-mana dua  daripadanya.
Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, peguam  V. S. Kumar yang mewakili tertuduh memohon  agar hukuman ringan dikenakan terhadap anak  guamnya atas alasan dia telah berkahwin dan  memiliki tiga anak yang masih kecil serta turut  menanggung bapa yang uzur.
Selain itu katanya, pendapatan tertuduh sebagai  penoreh getah yang rendah kerana keadaan  cuaca tidak menentu juga membuatkan tertuduh  sukar membayar denda tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurdeenie Abdul  Rashid pula menyatakan bahawa tertuduh pernah  memiliki kesalahan lampau berkaitan dadah dan  meminta mahkamah menimbangkan trauma yang  dihadapi mangsa.

SUMBER : MYNEWSHUB

Catat Ulasan