Benarkah Penulis Ombak Rindu Dibayar ‘Ciput’?

Benarkah Ombak Rindu 'Pecah' Panggung Tapi Penulisnya Dibayar 'Ciput'?
Kecoh di blog-blog hiburan terkenal mengenai kisah penulis novel popular Ombak Rindu, Fauziah Ashari, yang mendakwa menerima bayaran tidak setimpal dengan hasil kutipan filem tersebut yang dikatakan mencecah RM5.2 juta meskipun baru ditayangkan selama enam hari.
Menurut Fauziah, dia hanya menerima bayaran pergi balik dari Johor ke Kuala Lumpur sahaja dari pihak produksi, Astro Shaw dan Tarantella Pictures, dan hadir di atas dasar menyokong filem yang sedang ‘meletop’ di panggung itu saja.
“Tiada apa yang tinggal. tiada sesen pun untuk saya kalau nak diikutkan bayaran yang diterima, tetapi perjanjian telah dibuat, sepatutnya pihak bertanggungjawab lebih prihatin tentang isu ini kerana apa yang diolah dari Ombak Rindu hampir kesemuanya adalah idea asal saya.
“Termasuk bait ayat yang disampaikan oleh Lisa Surihani, “Redha itu ikhlas, pasrah itu menyerah”. Itu juga merupakan ayat yang ada di novel,” kata Fauziah yang dipetik dari laman blog hiburan, Beautifulnara.com hari ini.
Bagaimanapun, sumber juga memberitahu bahawa perjanjian asal di antara pihak produksi dengan penulis asal novel berkenaan bahawa dia hanya akan menerima imbuhan sekiranya hasil kutipan filem tersebut mencecah RM8 juta sahaja.
Persoalannya, benarkah Fauziah Ashari hanya dibayar tambang pergi dan balik dari Johor ke Kuala Lumpur sahaja?
Memandangkan filem tersebut baru saja enam hari ditayangkan dan kebetulan ‘meletop’ di panggung dengan hasil kutipan jutaan ringgit maka dia terus mahu duit imbuhan dari pihak produksi, tak boleh sabar sikit ka?
Tidakkah penulis novel itu ingat mengenai persetujuan awalnya dengan pihak produksi filem tersebut sehingga melatah meluahkan ketidak puasan hati kononnya hanya di bayar tambang sahaja?
Begitupun, adalah tidak salah sekiranya pihak produksi itu berkongsi sedikit hasil kutipan filem tersebut dengan Fauziah.
Kalau setakat menghulurkan sedikit penghargaan awal sebanyak RM2,000 – RM3,000 kepada penulis novel itu, rasanya tidak akan susut teruk pun hasil kutipan sebanyak RM5.2 juta itu.
Lagipun, apa salahnya jika kedua syarikat produksi itu memberikan sedikit ‘bonus’ kepada Fauziah sebagai penghargaan kepada idea, usaha dan populariti karyanya sehingga filem tersebut menerima sambutan hangat di panggung.
Penulis kira, adalah lebih baik sekiranya Fauziah meluahkan ketidakpuasan hatinya secara tertutup kepada pihak produksi dan berbincang dengan baik sambil mengharapkan sedikit pertimbangan demi kepentingan bersama.
Sekiranya isu ini dikontroversikan begini tidakkah ia bakal menjejaskan sedikit reputasi masing-masing di bidang industri hiburan tanahair?
Sewajarnya, pihak produksi dan pengkarya seni perlu bekerjasama untuk memajukan industri hiburan dan seni di negara ini selain ia akan menjadi satu batu loncatan kepada penghasilan mutu kerja yang lebih agung pada masa akan datang.

Catat Ulasan