Chelsea Juara Kumpulan E Liga Juara-juara

Chelsea Juara Kumpulan E
CHELSEA bukan saja berjaya melayakkan diri ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-juara, malah kemenangan 3-0 ke atas Valencia di Stamford Bridge, awal pagi tadi meletakkan skuad bimbingan Andre Villas-Boas itu menamatkan saingan Kumpulan E di tangga teratas.
Kelab London itu muncul juara Kumpulan E dengan mengumpul 11 mata, memintas pendahulu sebelum ini, Bayer Leverkusen yang terpaksa akur layak ke pusingan kalah mati selaku naib juara kumpulan selepas sekadar seri  1-1 dengan pasukan tercorot, Genk.
Di Stamford Bridge, dua ledakan Didier Drogba pada minit ketiga dan ke-76 serta jaringan Ramires (22) membuatkan Villas-Boas menggesa supaya pasukannya itu kembali dihormati.
“Tiada siapa berani meramal kami mampu menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan  dan ini kemenangan besar buat kami. Para pemain layak menerima penghormatan yang tidak diperolehi sebelum ini.
“Kami berjaya membalas segala kritikan orang terhadap kami,” kata Villas-Boas.
Sementara itu, Arsenal yang sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan F tumpas pada aksi terakhir,awal pagi tadi apabila kalah 1-3 di tangan Olympiakos di gelanggang lawan.
Kedua-dua penjaga gol simpanan Arsenal, Lukasz Fabianski dan penggantinya, Vito Mannone yang masuk pada minit ke-25 melakukan kesilapan ketika membenarkan tuan rumah memperolehi tiga gol menerusi Rafik Djebbour (16), David Fuster (36) dan Francois Modesto (89), manakala gol tunggal Arsenal dijaringkan Yossi Benayoun (57).
Marseille mengiringi Arsenal di tempat kedua selepas menewaskan Borussia Dortmund 3-2.
Kumpulan G menyaksikan kemaraan Apoel Nicosia selaku juara kumpulan biarpun tewas 0-2 kepada Shaktar Donetsk , diiringi Zenit yang berjaya mengikat Porto 0-0 untuk mengisi tangga kedua.
Barcelona pula terus garang membelasah Bate Borisov 4-0 biarpun sudah bergelar juara Kumpulan H manakala AC Milan kekal di tangga kedua selepas seri 2-2 dengan Viktoria Plzen.
Lapan lagi perlawanan membabitkan Kumpulan A, B, C dan D bakal berlangsung, awal pagi esok.

Catat Ulasan