Gaji Patsley antara termahal di dunia

KALI pertama bersua muka dengan wanita yang menerima antara gaji paling mahal di dunia, Pamela Patsley merupakan satu memori yang amat bermakna kerana beliau merupakan individu yang tidak sombong.
Patsley, 55, merupakan wanita Dallas, Amerika Syarikat (AS) yang amat peramah dan sering melontarkan jenaka sewaktu temu bual diadakan.
Malah, Patsley, Ketua Pegawai Eksekutif MoneyGram International (MoneyGram) ketika ditemui di Kota Kinabalu baru-baru ini turut berkongsi rahsia tentang kegemarannya memasak untuk keluarga, membaca buku pada waktu lapang dan mengembara.





“Saya benci bercakap mengenai diri saya, saya fikir orang lain boleh melakukannya dengan lebih baik. Boleh kita bercakap pasal perniagaan sahaja?” Patsley cuba menolak daripada menceritakan mengenai peribadinya.
Beliau dikatakan menerima pakej ganjaran kasar berjumlah kira-kira AS$ 17 juta (RM51 juta) setahun.
Patsley merupakan graduan lulusan Sarjana Muda Sains (BS) dan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BSBA) Universiti Missouri-Columbia di AS.
Ketika ditanya tentang gaji diterimanya, beliau berkata: ”Saya ada mendengarnya (wanita yang menerima antara gaji tertinggi di dunia) itu. Bagaimanapun, semua yang diperoleh itu adalah atas daya usaha saya sendiri untuk memajukan syarikat.
”Jika saya dibayar, saya akan pastikan orang lain yang bekerja di syarikat yang sama juga akan dibayar,” ujarnya tegas.
Patsley memulakan kerjayanya selepas menamatkan pengajian universiti pada 1979 di sebuah syarikat firma audit terkenal KPMG.
Patsley menyertai KPMG pada 1979, kemudiannya menjadi Ketua Pegawai Kewangan First USA Inc., Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Paymentech Inc (diambil alih First Data Corp. pada 1999) dan menjadi ketua di First Data International.
Sehingga kini, Patsley menjadi ahli lembaga pengarah di Texas Instruments dan Dr. Pepper Snapple Group dan Molson Coors Brewing Company.
Ketika ditanya tentang kehidupannya yang mewah di AS, beliau menjawab: “Saya bukan orang yang terlalu pentingkan wang. Ya, saya akui, wang merupakan faktor kejayaan hidup tetapi bagi saya, bukan untuk semuanya.
”Cabaran dan membina pasukan kerja adalah menjadi faktor paling penting bagi saya,” katanya
Patsley berkahwin dengan Gary Patsley iaitu seorang pesara Ketua Pegawai Kewangan First USA Bank di Texas.
Saya sangat bertuah kerana suami sangat menyokong kerjaya saya.
“Sekarang dia pesara sepenuh masa dan kami dapat mengimbangkan situasi di antara kerjaya dan hubungan keluarga,” kata Patsley.
Ditanya petua kejayaan beliau sehingga menjadi wanita yang paling tinggi bayaran di dunia, jelasnya, beliau sangat beruntung kerana mempunyai mentor kerja yang baik sepanjang penglibatan kerjaya.

Catat Ulasan