Masih Ingatkah Pembunuhan Kejam Canny Ong?

Masih Ingatkah Pembunuhan Kejam Canny Ong?
Masihkah anda ingat dengan kematian tragis penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Li Kian? Penulis secara peribadi tidak mungkin dapat melupakan kejadian itu kerana bertugas sebagai wartawan jenayah ketika ia berlaku.
Bagi yang terlupa atau tak tahu, Canny diculik di pusat beli-belah di Bangsar pada 13 Jun 2003 sebelum mayatnya yang rentung ditemui dalam longkang di tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru, Petaling Jaya pada 17 Jun 2003.
Untuk pengetahuan anda, suspek yang juga seorang pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan merogol Canny.
Secara ringkasnya, plot tragis pembunuhan itu bermula apabila Canny yang ditemani ibunya, Pearly Visvanathan dan adik perempuannya menghadiri majlis makan malam di Restoran Monte di Pusat Beli-belah Bangsar (BSC), tempat di mana Ahmad Najib melihat beliau.
Dia kemudiannya hilang dipercayai diculik bersama kereta Proton Tiara bernombor pendaftaran WFN 6871.
Mayat Canny kemudiannya dijumpai dalam keadaan hangus di dalam sebuah lubang pembetungan seluas 1x1x1 meter dengan kedua-dua tangannya bersilang di atas dada dan kakinya terjuntai keluar dari lubang itu.
Mayatnya dijumpai tertanam di bawah dua tayar berisi simen dalam lubang pembetungan itu empat hari selepas dia diculik dari tempat meletak kereta BSC.
Kisah pembunuhan Canny ternyata telah mengempar seluruh rakyat Malaysia.
Dan sebagai mengenangkan kembali peristiwa tersebut, dokumentari istimewa berjudul The Murder of Canny Ong, akan ditayangkan secara perdana pada 12 Disember ini menerusi saluran Crime & Investigation Asia, di stesen TV berbayar Astro.
Siaran ulangan dokumentari ini pula adalah pada 13 Disember (11 malam), 15 Disember (8 malam), 16 Disember (10 malam), 17 Disember (9 malam) dan 18 Disember (10 malam).
Dokumentari ini turut menampilkan temu bual bersama ibu mangsa, Pearly Visvanathan Ong, yang sehingga hari ini masih menanggung kesedihan di atas kehilangan anak kesayangannya.
Turut ditemu bual ialah Deputi Superitendent Amidon Anan yang ketika itu Ketua Jabatan Jenayah yang mengetuai siasatan kehilangan dan kematian Canny.
Selain Pearly dan Amidon, dokumentari ini juga memaparkan temu bual bersama Timbalan Pendakwa raya, Datuk Sallehuddin Saidin; ketua barisan peguam bela Ahmad Najib, Muhammad Haniff Khatri Abdullah; wartawan, Angela D’Cruz; pakar jenayah dan psikologi, Dr Geshina Ayu Mat Saat; Ketua Siasatan Jenayah Selangor, SAC Abu Bakar Mustafa; dan kawan baik mangsa, Noreen Natasha.
Mungkin banyak pengajaran yang boleh kita peroleh dari dokumentari ini,

Catat Ulasan