METRO 1 DIS - Tanam janin dalam kebun

SEBERANG JAYA – Berhati binatang! Itu yang dapat digambarkan terhadap perbuatan seorang lelaki dan wanita dipercayai sepasang kekasih yang menanam janin di sebuah kebun kecil dekat Lorong Tenggiri 10, di sini, kelmarin.
Janin dianggarkan berusia lima bulan serta cukup sifat itu ditemui sepasang suami isteri yang tinggal berhampiran kawasan tersebut selepas curiga dengan benda yang ditanam pasangan terbabit.
Saksi yang enggan namanya disiarkan itu memberitahu, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang selepas terlihat kelibat lelaki dan wanita berbaju kurung, berusia lingkungan 20an memberhentikan motosikal di hadapan sebuah dewan berhampiran rumahnya.
“Dari pintu rumah, saya nampak lelaki itu mengorek lubang dekat kebun di tepi parit, sementara wanita itu pula berdiri di tepi berada dalam keadaan gelisah sambil memerhatikan keadaan sekeliling.
“Pada mulanya, saya sangka mereka tanam kucing, tetapi, dalam masa sama mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.
“Saya masuk ke dalam rumah untuk mandi, dan bercadang mahu bertanya kepada mereka apa yang ditanam, tapi, belum sempat saya tanya mereka sudah pun hilang. Dalam 20 minit saja semuanya selesai,” katanya.
Dia berkata, pelbagai persoalan tidak enak mula timbul dalam fikirannya, tetapi disimpan sahaja memandangkan suaminya sedang tidur ketika itu.
Namun, sebaik bangun, dia segera memberitahu suaminya dan mereka bersama-sama ke kebun berkenaan pada kira-kira jam 6.30 petang bagi melihat benda yang ditanam pasangan berkenaan.
Dia mula mengesyaki ada bayi ditanam di situ berdasarkan dua kayu yang dipacak seperti batu nisan di kawasan tersebut.
Katanya, suaminya mula mengorek lubang itu perlahan-lahan menggunakan cangkul, dan terkejut apabila terlihat objek berupa kepala muncul di permukaan tanah.
“Suami kemudiannya kais lubang itu menggunakan kayu dan kami terkejut apabila nampak jari dan kaki. Begitu juga dengan anggota badan yang lain, malah uri juga ada bersama janin itu,” katanya yang menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak berperikemanusiaan.
Dia berkata, suaminya segera menelefon polis bagi memberitahu mengenai kejadian dan mereka tiba di lokasi 10 minit kemudian.
Menurutnya, janin itu dipercayai masih baru berdasarkan keadaannya yang bersih.
“Ini merupakan kejadian pertama berlaku sejak saya tinggal di sini 30 tahun lalu. Saya memang selalu pantau kawasan kebun itu kerana kadangkala ada yang datang ambil pokok pisang tanpa kebenaran.,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abdul Lah ketika ditemui mengesahkan kejadian.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Janin tersebut dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.
Sinar

Catat Ulasan