[Metro 6 Dis] Desa contoh

UTUH...antara rumah tradisional di Kampung Baru.
UTUH...antara rumah tradisional di Kampung Baru.
KUALA LUMPUR: Ibarat kisah 1,001 malam, terlalu banyak cerita suka duka apabila kita berbicara mengenai Kampung Baru yang terletak di tengah ibu kota.
Sesuai usianya yang mencecah 111 tahun, perkampungan dengan keluasan 90.2 hektar memiliki banyak keistimewaan.
Ramai mahukan Kampung Baru menjadi ikon perkampungan masyarakat Melayu di tengah kepesatan bandar raya Kuala Lumpur sama seperti China Town dan Little India yang masing-masing mewakili masyarakat Cina dan India.

Walaupun belum mendapat pengiktirafan secara rasmi, sedar atau tidak kampung ini sudah lama menjadi tumpuan pelancong yang ingin melihat kehidupan masyarakat Melayu di Malaysia.

Antara yang menjadi tumpuan ialah bangunan bersejarah yang masih terdapat di sini. Di sebalik reka bentuk menarik serta keutuhan strukturnya, nilai sejarah pada bangunan bersejarah termasuk rumah tradisional berkenaan menjadi faktor tarikan utama pelancong ke sini.

Pengumuman kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru selain pengekalan tempat bersejarah melalui pembentukan Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 mendapat sambutan ramai.

Langkah bijak itu bukan saja disokong pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru, tetapi juga dapat merealisasikan hasrat orang ramai yang mahu melihat ia dijadikan produk pelancongan utama negara mengetengahkan ketinggian khazanah Melayu.

Ketua Kampung Periuk, Aziz Arifin, 61, berkata tindakan kerajaan mengekalkan tempat bersejarah di Kampung Baru boleh mempamerkan ciri-ciri sejarah untuk tatapan umum terutama generasi muda.

“Tanpa perlu ke luar kota seperti Melaka, generasi sekarang boleh melihat lebih dekat betapa indahnya nilai budaya Melayu di Kampung Baru melalui seni bina.

“Kebanyakan tempat bersejarah ini seperti bangunan Kelab Sultan Sulaiman dan Masjid Jamek banyak menyimpan sorotan sejarah,” katanya.

Bangunan Kelab Sultan Sulaiman misalnya, dibina sejak 1909 di atas tanah yang diwakafkan Sultan Selangor. Hasil usaha dan kerjasama penduduk kampung, bangunan pertama kelab orang Melayu tertua itu dibina bercirikan seni bina Melayu Minang dengan struktur binaan daripada kayu cengal, berdinding papan serta beratapkan daun nipah.

Kini, akibat perubahan masa serta kejadian kebakaran di situ, bangunan baru dibina yang terdiri daripada dewan untuk kegunaan orang ramai serta Kelab Sultan Sulaiman.

Bangunan ini pernah menjadi saksi dengan ia menjadi tempat pencetus semangat orang Melayu menentang Malayan Union selain menjadi lokasi Kongres Melayu Pertama yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

Ia pernah digunakan sebagai tempat mesyuarat Sahabat Pena, Persatuan Penulis-Penulis Melayu Malaya, Persatuan Melayu Selangor dan Kongres Wartawan bagi menubuhkan Kesatuan Wartawan SeMalaya pada 1940.

Selain itu, Masjid Jamek menyimpan lipatan sejarah penyatuan beberapa kampung di Kampung Baru.

Tapak masjid ini diwakafkan Haji Bachik Abdullah (pemilik tanah) pada akhir 1920-an dan sekali lagi penduduk berganding bahu mendirikan sebuah balai dari lantai dan tiang nibong yang kemudian menjadi surau.

Masjid Jamek ini juga mengalami beberapa perubahan sehingga pada 1955, bangunan baru dibina dengan kos RM 214,000.

Menariknya kerajaan negeri Selangor ketika itu memperuntukkan RM90,000 dan selebihnya hasil kutipan derma orang ramai. Secara fizikalnya masjid yang mempunyai keluasan 6,472 meter persegi itu mampu menampung sehingga 7,000 jemaah untuk solat Jumaat.

Selain itu beberapa rumah yang mempunyai seni bina Melayu juga boleh dikekalkan mengikut persetujuan pemiliknya.

Bagi Harun Abdul Aziz, 46, pengekalan rumah tradisional ini perlu lebih-lebih lagi ia terletak di tengah kota raya.

“Rumah kami masih utuh sehingga sekarang walaupun usianya mencecah 79 tahun.
Siapa sangka struktur utama rumah ini masih menggunakan kayu asal.

“Rumah yang diwarisi daripada moyang ini mengalami beberapa peristiwa penting seperti era pentadbiran Jepun, British sehingga ketika rusuhan 13 Mei dan banjir besar yang melanda Kuala Lumpur suatu ketika dulu,” katanya.

Disebabkan nilai sejarah serta ketinggian seni bina Melayu yang sukar dilihat sekarang, Harun berpendapat adalah wajar inisiatif untuk mengekalkan rumah tradisional di Kampung Baru.

Bagi Osman Siru Hashim, 64, beliau menyokong usaha mempertahankan kawasan bersejarah terutama selepas transformasi Kampung Baru.

“Selain mengekalkan bangunan sedia ada, seni bina serta pembangunan yang akan datang juga perlu menonjolkan identiti masyarakat Melayu,” katanya.

Catat Ulasan