Pinjam along belanja kahwin


JOHOR BAHRU: Akibat bimbang keluarganya menanggung malu jika perkahwinannya ditunda, memaksa seorang kerani wanita yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sekitar bandar raya ini membuat pinjaman RM3,000 daripada along pada November tahun lalu.
Akibat tindakan melulunya itu, dia kini terpaksa menanggung bunga hutang mencecah RM40,000.
Mangsa mahu dikenali Siti, 29, kini mengandung tujuh bulan berkata, dia terpaksa membuat pinjaman daripada 23 along untuk melunaskan bayaran bunga pinjaman berkenaan.
“Saya terdesak meminjam selepas sebahagian daripada wang hantaran berjumlah RM10,000 digunakan untuk perbelanjaan peribadi.
“Kerana kekurangan wang, saya cuba mendapatkan pinjaman bank, namun permohonan ditolak dan pada masa sama saya semakin buntu kerana tarikh perkahwinan semakin hampir,” katanya yang ditemani suaminya ketika ditemui di pejabat Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru di sini, semalam.
Source: Harian Metro

Catat Ulasan