“Saya Tak Berniat Nak Gunakan Mereka” – Sara Ali, Pelakon “Songlap”

Mesti masih ramai yang tidak mengenali gadis kecil molek ini lagi bukan? Sara Ali adalah antara pelakon yang menjayakan drama Tahajjud Cinta dan buat pertama kalinya dia diberikan watak yang besar untuk berlakon bersama Shaheizy Sam didalam filem “Songlap”.
Ketika ditemui selepas previu filem “Songlap” bertempat di One Utama semalam, gadis yang berusia 21 tahun ini nampak sahaja pendiam, tapi apabila ditegur, panjang jawapan yang diberikan.
“Saya rasa lakonan saya tak betullah, masih ada lagi bahagian yang perlu saya perbaiki. Saya rasa nak shoot balik filem ini walaupun yang lain dah berikan lakonan yang mantap,” ujar Sara Ali memulakan perbualan.
“Mungkin sebagai orang baru, saya rasa ini dah cukup bagus. Tapi ini adalah filem kelima saya, sebab tu rasa tak puas hati,” tambah Sara lagi.
Watak yang diberikan kepada Sara dalam filem “Songlap” ini boleh dikatakan hanya 10 peratus sahaja dialog yang diberikan dan 90 peratus scene yang lain kebanyakannya hanya menggunakan body language yang sememangnya menjana perjalanan filem ini.
“Bagi saya, karakter Hawa dalam filem “Songlap” tidak terlalu berkembang, sedangkan saya sendiri bertanya – Kenapa dialog saya sikit sangat?
“Biarlah penonton tengok sendiri dan nilai prestasi saya. Saya letakkan harapan saya pada “Songlap” tinggi sebab ini filem pertama saya yang besar,” ujar Sara lagi.
Sementara itu, ditanya jika dia kisah atau tidak jika peminat mengatakan bahawa dia menumpang populariti Shaheizy Sam, Sara menjawab,
“Saya tak kisah kalau orang kata saya tumpang nama Sam, sebab filem “Songlap” akan jadi pintu saya agar pengarah lain boleh nampak lakonan saya. Saya tak berniat nak gunakan mereka untuk populariti, cuma ini adalah satu peluang bagi saya untuk terus maju,” ujar Sara Ali mengakhiri perbualan.

Catat Ulasan