METRO 1 DIS - Masjid kena simbah cat merah

MELAKA: Penduduk di Kampung Pinang Barat, Tanjung Kling, dekat sini, gempar seketika apabila satu-satunya masjid lama di kampung terbabit, iaitu Masjid Pokok Assam yang dianggar berusia lebih 70 tahun dan kini di peringkat akhir proses baik pulih, disimbah cat merah, pagi semalam.
Kejadian disedari jam 9.30 pagi oleh seorang penyelia subkontraktor yang melakukan kerja baik pulih dan menaik taraf masjid itu sejak lebih setahun lalu bagi menyediakan ruang ibadat lebih luas dan selesa serta dapat menampung jumlah jemaah lebih ramai.
Tinjauan di tempat kejadian mendapati cat merah itu disimbah ke dinding ruang solat di hadapan dan juga di tandas selain terdapat terdapat beberapa kesan tompokan cat di lantai marmar.
Malah, beberapa kemudahan paip air di tempat mengambil wuduk turut dirosakkan.
Didapati cat merah disimbah pada dinding berkenaan mempunyai tulisan ‘Tolong Jelaskan Gaji Kami’ selain dilukis simbol ringgit.
Ketika tinjauan juga, beberapa pekerja kontrak sedang menjalankan kerja memasang lampu serta mengecat semula bahagian yang disimbah cat merah itu.
Menurut Sidang Ramli Mohamed, 58, perbuatan pihak terbabit amat memalukan, sekali gus menjejaskan imej kampung berkenaan.
“Projek menaik taraf masjid itu membabitkan kos RM800,000 yang disalurkan kerajaan negeri dan pihak kami menyerahkan sepenuhnya kepada kontraktor dilantik untuk menyiapkan kerja berkenaan. “Saya rasa kesal dan terkejut selepas diberitahu seorang penduduk tengah hari semalam mengenai perkara ini,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga, di sini.
Ramli berkata, kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan pihak jawatankuasa masjid kerana semua urusan berkaitan diserahkan kepada kontraktor.
“Saya berharap polis dapat menjalankan siasatan segera untuk mengesan pihak bertanggungjawab. Jika perbuatan ini dilakukan orang Islam, ia amat menyedihkan kerana tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Harian Metro

Catat Ulasan