Neelofa Reka Kasut Kahwin Ezlynn

Neelofa Reka Kasut Kahwin Ezlynn
KUALA LUMPUR – Pelakon dan pereka kasut, Neelofa kini sedang menyiapkan sepasang kasut yang akan dipakai oleh penyanyi Ezlynn pada majlis resepsi perkahwinannya pada Januari tahun depan.
Menurut pelakon jelita itu, pihak Ezlynn yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye telah menghubungi dan memintanya mereka sepasang kasut khas bertumit tinggi pada majlis persandingan penyanyi tersebut.
“Saya akan mereka sepasang kasut bertumit tinggi khas atas jenama saya iaitu Neelofa Heels untuk Ezlynn. Lebih menarik apabila Rafflesia Pearls akan menaja mutiara bagi dihiasi pada kasut itu nanti.
“Ini adalah kali pertama saya mereka kasut untuk pengantin. Saya lakukan ini kerana Ezlynn adalah kawan saya. Pada masa sama ini adalah cara saya mempromosikan jenama Neelofa Heels yang akan dilancarkan pada tahun depan,” ujarnya.
Tambah Neelofa dia akan berbincang dengan pereka pakaian pengantin Ezlynn bagi menyesuaikan dengan rekabentuk kasut yang akan direkanya itu nanti agar ia bersesuaian dengan konsep perkahwinan penyanyi itu.
“Apa yang pasti warna kasut itu nanti ialah cream. Saya juga akan berbincang dengan pihak Rafflesia di manakah tempat yang sesuai untuk meletakkan mutiara-mutiara itu di sepatu yang akan dipakai Ezlynn nanti.
“Ini kerana, biasanya orang pakai mutiara di leher dan tangan tetapi jarang menghiasnya pada kasut. Pada masa sama saya mahu pastikan harganya berpatutan dan mampu ditempah oleh pasangan pengantin yang lain juga,” jelasnya lagi. – mynewshub.my

Catat Ulasan